Merdeka baharu: Kebebasan pekerja gig

Merdeka baharu: Kebebasan pekerja gig

Pekerja gig bukan tuntut layanan istimewa, mereka hanya mahu dilayan sebagai manusia yang berhak mendapat perlindungan, jaminan dan maruah.

Merdeka selalu kita raikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan laungan patriotik. Namun, di sebalik perarakan penuh warna, ada jutaan rakyat yang menyambut kemerdekaan dengan cara lain — menghidupkan enjin motosikal atau kereta, menatap skrin aplikasi, dan menunggu arahan algoritma. Inilah wajah ekonomi gig, realiti kerja masa kini yang menuntut tafsiran baharu terhadap makna kebebasan.

Dari laptop ke handlebar: Evolusi gig Malaysia

Dalam sejarah panjang pekerjaan yang pernah saya lakukan, saya pernah mempunyai beberapa pekerjaan sambilan yang menyeronokkan. Ironinya semua terkait dengan minat membaca saya. Menulis ucapan ahli politik, menyunting rencana, menilai buku yang bakal diterbitkan, antaranya. Ketika itu saya tidak pasti kategori manakah saya berada.

Sejarah gig ekonomi di Malaysia bermula perlahan. Awal 2000-an, ia hadir dalam bentuk kerja sambilan berasaskan internet — penulisan kandungan, reka bentuk grafik, dan IT outsourcing. Namun, istilah ‘gig’ belum popular. Segalanya berubah sekitar 2012–2014, apabila Uber dan GrabCar diperkenalkan. Ia membuka jalan kepada model baharu: bekerja tanpa kontrak tetap, tetapi bergantung kepada platform digital.

Selepas itu, p-hailing (penghantaran makanan) mula melonjak. Foodpanda, Lalamove, GrabFood dan kemudian ShopeeFood menukar gaya hidup rakyat kota. Dengan telefon pintar di tangan, anak muda beralih kepada dunia ‘freelance digital’. Pada mulanya ia kelihatan bebas dan fleksibel — boleh bekerja ikut masa sendiri, tanpa majikan yang mengawal. Tetapi kebebasan itu datang dengan harga: tiada KWSP, tiada cuti sakit, tiada jaminan keselamatan sosial.

Covid-19: Gig jadi penyelamat sekaligus perangkap

Pandemik Covid-19 menjadi titik letupan terbesar. Ketika ramai kehilangan kerja tetap, ribuan berpusu-pusu menjadi rider dan pemandu e-hailing. Gig ekonomi seakan penyelamat. Namun, krisis itu juga mendedahkan wajah sebenar — pekerja gig hanyalah nombor dalam sistem, bergantung sepenuhnya pada algoritma dan permintaan pasaran. Ketika itulah isu perlindungan sosial dan status undang-undang mula dibincang secara serius.

Selepas pandemik, jumlah pekerja gig di Malaysia dianggarkan melebihi dua juta orang. Ia bukan lagi fenomena pinggiran, tetapi nadi penting dalam ekonomi harian rakyat. Dari makanan ke mobiliti, dari kandungan digital ke perkhidmatan kecil, ekonomi gig sudah sebati dalam kehidupan bandar mahupun desa.

Malah ada kecenderungan baharu yang muncul pasca pandemik: anak muda yang sudah bekerja tetap di pejabat mula menjadikan ekonomi gig sebagai sumber tambahan. Dengan sedikit wang pendahuluan, mereka mampu mengeluarkan kereta baharu — sebahagiannya ditampung daripada kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing atau penghantar makanan. Fenomena ini menggambarkan dua sisi mata wang gig: di satu pihak ia membuka peluang mobiliti sosial, di pihak lain ia menunjukkan betapa gaji tetap sering tidak mencukupi untuk menampung kos hidup semasa.

Jerit sunyi rider, jurugambar dan kru seni

Jika ditanya kepada seorang rider, mereka akan berkata: cuaca hujan atau panas bukan halangan, tetapi risiko kemalangan, gaji yang berubah-ubah, dan tiada perlindungan kesihatan adalah beban sebenar. Seorang jurugambar sambilan pula mungkin mengeluh tentang bayaran yang sering ditawar rendah, tanpa sebarang kontrak jelas. Begitu juga wartawan sambilan, penulis bebas, dan editor luar yang menerima tugasan projek demi projek — mereka semua berkongsi nasib yang sama: pendapatan tidak menentu, hak yang kabur.

Kru perfileman juga tidak terkecuali. Ramai bekerja sebagai freelancer, berpindah dari satu produksi ke produksi lain. Mereka terdedah kepada jam kerja panjang, lokasi berisiko, dan kadangkala bayaran tertunggak. Begitu juga juruteknik acara, jurulatih sambilan, serta pekerja pentas seni. Ekonomi kreatif Malaysia banyak bergantung pada tenaga sambilan ini, tetapi selama bertahun-tahun mereka beroperasi di ‘zon kelabu’ undang-undang buruh. RUU Pekerja Gig 2025 akhirnya membawa sinar — bahawa suara mereka juga diiktiraf, bukan sekadar tenaga pakai buang.

Akhirnya, gig mengetuk pintu Parlimen

Setelah bertahun-tahun menjadi ‘bayangan’ dalam ekonomi, pekerja gig akhirnya sampai ke Parlimen. Pada 25 Ogos 2025, Menteri Sumber Manusia Steven Sim membentangkan Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 untuk bacaan kali pertama.

RUU ini menyentuh empat aspek utama:

1. Definisi pekerja gig yang lebih luas, bukan hanya p-hailing atau e-hailing tetapi juga juruvideo, wartawan sambilan, kru filem, jurugambar, dan banyak lagi.
2. Mekanisme aduan, supaya pekerja boleh membawa masalah mereka ke saluran rasmi, seperti tribunal.
3. Kadar bayaran, dengan ruang untuk menentukan upah lebih adil.
4. Perlindungan keselamatan sosial, agar mereka tidak lagi terdedah sepenuhnya kepada risiko.

Lebih penting, prosesnya tidak terburu-buru. Sekitar 40 sesi libat urus diadakan, melibatkan hampir 4,000 pihak berkepentingan, selain lebih 500 maklum balas dalam talian. Inklusiviti ini menunjukkan kesungguhan kerajaan mendengar suara dari pelbagai lapisan.

Syabas kementerian: Langkah berani lindungi gig

Di sini wajar kita rakamkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Sumber Manusia bawah pimpinan Sim selaku menteri. Membawa isu rumit ini ke Parlimen bukan tugas mudah. Namun, langkah berani ini menunjukkan komitmen bahawa pekerja gig tidak boleh terus diperlakukan sebagai warga kelas kedua.

Antara pujian dan kebimbangan

Tidak semua pihak melihatnya sempurna. North South Initiative (NSI) memuji RUU ini sebagai kerangka seimbang dan berpandangan jauh, selari prinsip Pekerjaan Wajar ILO. Namun, ada juga kebimbangan bahawa pendekatan ‘one-size-fits-all’ boleh menekan pekerja gig sambilan — misalnya syarat tertentu mungkin membebankan mereka yang hanya mengambil kerja separuh masa. Tribunal penyelesaian pertikaian pula mungkin sukar diakses pekerja tanpa penasihat guaman, berbanding syarikat besar yang lebih berkuasa.

Apa dunia lain dah buat tentang gig

Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan dilema ini. Di United Kingdom, keputusan Mahkamah Agung pada 2021 menetapkan pemandu Uber sebagai pekerja yang layak mendapat cuti berbayar dan gaji minimum. Di Kesatuan Eropah, Directive on Platform Work diluluskan pada 2023, menjamin hak minimum serta ketelusan algoritma.

Di Amerika Syarikat, undang-undang seperti Proposition 22 di California mencipta model hibrid — pekerja gig kekal kontraktor bebas, tetapi dengan faedah asas seperti insurans dan elaun kesihatan. Manakala di Indonesia, pekerja ojek telah mendapat akses kepada Skim Keselamatan Sosial Nasional (BPJS), hasil desakan kesatuan dan libat urus dengan kerajaan.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa isu pekerja gig adalah fenomena global. Malaysia kini berada pada persimpangan penting: adakah kita akan memilih model perlindungan menyeluruh seperti Eropah, model hibrid seperti California, atau mencari jalan tengah yang sesuai dengan konteks tempatan?

Merdeka baharu: Bebas eksploitasi

Di sinilah kita perlu renung kembali makna merdeka. Dulu, kemerdekaan dituntut untuk membebaskan bangsa daripada penjajahan. Hari ini, merdeka perlu ditafsir semula — sebagai pembebasan daripada eksploitasi ekonomi. Pekerja gig bukan menuntut layanan istimewa, mereka hanya mahu dilayan sebagai manusia yang berhak mendapat perlindungan, jaminan, dan maruah.

Generasi terdahulu sanggup menggadai tanah dan emas untuk merdeka. Generasi kini, khususnya pekerja gig, menggadai masa, kesihatan, dan nyawa di jalan raya atau di set penggambaran demi sesuap nasi. Jika kita benar-benar ingin mengisi kemerdekaan, bukankah ini perjuangan baharu yang harus kita teruskan?

Jangan hanya noktah, biarlah titik permulaan

RUU Pekerja Gig 2025 bukan noktah, tetapi koma yang membuka bab baharu. Ia mungkin tidak sempurna, tetapi ia meletakkan asas. Cabarannya ialah pelaksanaan: adakah suara pekerja gig benar-benar diambil kira, atau sekadar simbol di atas kertas? Harapan kita, setiap pindaan kelak harus lebih telus, seimbang dan menutup jurang kuasa antara pekerja dengan syarikat platform.

Merdeka bukan sekadar tanggal 31 Ogos. Merdeka ialah apabila setiap rakyat, termasuk pekerja gig, kru filem, jurugambar, penulis sambilan, atau rider di jalanan, boleh bekerja dengan bermaruah, dilindungi undang-undang, dan dihargai sebagai insan. Inilah erti kebebasan sebenar — bebas bukan hanya daripada penjajahan dahulu, tetapi daripada ketidakadilan yang masih menghantui hari ini.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.