Polis tahan 7 penuntut, 1 aktivis sertai protes di Kelana Jaya

Polis tahan 7 penuntut, 1 aktivis sertai protes di Kelana Jaya

Mereka ditahan selepas enggan bersurai ketika mengadakan perhimpunan pada jam 5.00 petang walaupun diminta berbuat demikian oleh polis.

Salah seorang penuntut kolej pengajian di Ara Damansara memegang plakad ketika protes petang semalam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seramai 7 penuntut dan seorang aktivis ditahan selepas menyertai protes di hadapan kolej pengajian mereka di Ara Damansara, Kelana Jaya, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 26 tahun ditahan, selepas enggan bersurai ketika mengadakan perhimpunan pada jam lebih kurang 5.00 petang, walaupun diminta berbuat demikian oleh pihak polis.

“Perhimpunan itu disertai kira-kira 50 individu dengan diketuai seorang aktivis sebuah parti politik, yang tidak berpuas hati dengan kolej berkenaan, kerana membuang 2 penuntutnya disebabkan tidak dapat membayar yuran pengajian.

“Berikutan itu kita menahan 7 orang penuntut termasuk seorang wanita dan seorang aktivis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya kepada Bernama, semalam.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya, untuk membantu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.