
Beberapa laporan media tempatan memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan menyerahkan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.
Igun berkata, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.
Berdasarkan satu video yang tersebar di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina penunggang Gojek dan Indonesia.
“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut klip video itu.
Gojek yang diasaskan Nadiem Makarim, 35, ialah kebanggaan Indonesia yang bukan sekadar menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang menggunakan motosikal.
Di Indonesia, aplikasi Gojek dimuat turun lebih 142 juta kali, dengan lebih 2 juta rakan kongsi pemandu bagi 3 bulan pertama tahun ini.
Tahun lalu, Gojek mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) lebih AS$9 bilion di semua negara operasinya yang menjadikannya kumpulan teknologi pengguna terbesar di Asia Tenggara berdasarkan GTV.
Kini, Gojek turut beroperasi di Singapura, Filipina, Thailand (dikenali sebagai GET) dan Vietnam (dikenali sebagai GoViet).
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan Gojek diperkenalkan di Malaysia.
Ditubuhkan pada 2010, Gojek menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk GoRide (pengkhidmatan pengangkutan motosikal), GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills (pembayaran bil semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di pasar raya), GoLaundry (perkhidmatan dobi) dan GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan).