
Lai Sin Kian, didakwa sebagai majikan, gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja “backfill” atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 1.56 tengah hari hingga 6 petang, 19 Okt lepas, sehingga mengakibatkan 9 orang maut.
Lai, 58, didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun Hakim Mazdi Abdul Hamid yang mendengar pertuduhan itu meminta pihak pendakwaan menyemak semula pertuduhan yang dihadapi oleh pengarah projek itu berikutan terdapat percanggahan waktu pada masa kejadian tanah runtuh tersebut dan masa pertuduhan yang dihadapi Lai.
“Mengapa masa kejadian itu dari 1.56 tengah hari hingga 6 petang dalam pertuduhan? Adakah insiden berlaku pada 1.56 tengah hari atau 6 petang? Garis masa ini mungkin menjejaskan pembelaan Lim.
“Sekiranya jam 6 petang ia tiada kena mengena dengan kejadian yang mengakibatkan 9 nyawa maut ini.
“Masa sepatutnya adalah pada jam 1.56 tengah hari sama dengan insiden berlaku. Saya berikan masa untuk pihak pendakwaan meminda pertuduhan ini. Sekiranya ada keraguan seperti ini lagi, saya akan membuang kes ini, ” katanya.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman berkata, masa kejadian adalah jam 1.56 tengah hari, bagaimanapun masa siasatan bermula pada jam 6 petang.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Sept ini bagi pindaan pertuduhan masa bagi kes tersebut.
Lai diwakili peguam S Kanesh.