
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Nordin Abdullah berkata suspek berusia 31 tahun itu, yang baru selesai menjalani hukuman penjara 8 bulan atas kesalahan berkaitan dadah, ditahan di Jelapang pada pukul 8 malam.
“Dalam kejadian pukul 12.53 tengah hari tadi, suspek yang dipercayai menaiki sebuah motosikal bersama seorang lelaki, menghampiri seorang wanita lalu menarik beg tangannya sehingga mangsa terjatuh dan luka pada siku kiri,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata mangsa yang membuat laporan polis pada 1.30 tengah hari tadi memberitahu bag tangan beliau mengandungi wang tunai RM300, dokumen pengenalan diri dan kad bank.
Nordin berkata hasil kerjasama orang awam dan kecekapan pihak polis, bekas banduan itu berjaya ditahan kurang daripada 8 jam dan polis sedang giat mengesan seorang lagi suspek, serta kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.
Insiden ragut itu disaksikan 2 wartawan yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan menaiki kereta, dan sempat merakamkan gambar kejadian yang jelas menunjukkan jenis dan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek.
Nordin mengucapkan terima kasih kepada wartawan terbabit yang kemudiannya menghubungi polis, bagi menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras jenayah.