Bayaran balik pinjaman PTPTN RM2 bilion ‘tepati sasaran’, kata Wan Saiful

Bayaran balik pinjaman PTPTN RM2 bilion ‘tepati sasaran’, kata Wan Saiful

PTPTN mempergiatkan usaha bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman dan pegawai agensi itu kini bekerja untuk menemui peminjam terbabit.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan menyerahkan Wang Pendahuluan Pinjaman kepada 359 pelajar dari Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata, bayaran balik pinjaman agensi itu “menepati sasaran” setakat Ogos tahun ini.

“Setakat ini, kita ‘target’ bayaran balik sekitar RM2 bilion dan pencapaian boleh dikatakan ‘on target’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan wang pendahuluan kepada pelajar dari Putrajaya dan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, PTPTN sedang mempergiatkan usaha bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mereka, selain menambah bahawa pegawai beliau kini bekerja untuk menemui peminjam terbabit.

“Kita ada sedikit rancangan untuk membantu mempermudahkan proses pembayaran balik untuk pelajar, tetapi ia akan diumumkan kemudian apabila perancangan itu selesai,” katanya.

Katanya, terdapat cadangan yang telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan berkaitan inisiatif itu.

“Keputusan akhirnya adalah di peringkat Kementerian Pendidikan, jadi kita tunggu pengumuman kementerian. PTPTN sebagai agensi pelaksana akan melaksanakan keputusan yang dibuat di peringkat kementerian,” katanya.

Seramai 359 pelajar di Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bernilai RM1,500 setiap seorang.

Sejumlah RM538,500 diagihkan hari ini bagi membantu bakal pelajar terbabit membuat persiapan untuk memasuki universiti.

Dalam pada itu, untuk kemasukan ke universiti awam bermula September ini, seramai 20,716 pelajar akan ditawarkan WPP dengan peruntukan sebanyak RM31 juta.

WPP ditawarkan bagi membantu pelajar Malaysia, yang ibu bapa mereka merupakan penerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH), menampung kos persiapan untuk memasuki universiti, antara lain untuk membeli pakaian dan membayar kos pengangkutan.

Surat tawaran WPP mempunyai tempoh sah selama 2 bulan, iaitu dari 27 Ogos hingga 27 Okt untuk pengambilan akan datang. Pelajar boleh mendapatkan dana tersebut dari kaunter Bank Islam bermula 27 Ogos.

Wan Saiful berkata, mereka juga sedang menimbangkan kemungkinan menambah WPP daripada RM1,500 setiap orang sekarang jika ia boleh membantu masa depan pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.