
Terdahulu Seoul mengumumkan keputusannya untuk menamatkan Perjanjian Keselamatan Maklumat Ketenteraan, ketika kedua-dua negara berdepan kemelut 2 hala berhubung isu perdagangan dan sejarah.
Jarang sekali melihat AS menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap sekutunya Korea Selatan.
“Kami kecewa dengan keputusan Korea Selatan itu,” kata Pompeo kepada pemberita pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya di Ottawa, Kanada.
“Kami menggesa kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dan terus mengadakan dialog,” katanya yang sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung Wha.
Pompeo berharap Korea Selatan dan Jepun akan memulihkan semula hubungan dengan mempertimbangan kerjasama yang terjalin selama ini di antara ketiga-tiga negara.
Sementara itu, jurucakap Pentagon Dave Eastburn dalam satu kenyataan berkata, integriti pertahanan dan hubungan baik bersama perlu berterusan walaupun berlaku pergeseran.
GSOMIA yang ditandatangani pada 2016 akan tamat pada November, menimbulkan kegusaran mengenai kerjasama 3 hala terhadap ancaman nuklear Korea Utara dan gerakan ketenteraan China yang semakin meningkat.
Perjanjian itu akan diperbaharui secara automatik selepas 24 Ogos, setiap pihak mempunyai tempoh 3 bulan untuk memaklumkan sama ada mahu menarik diri.