Suspek tembak 6 polis serah diri selepas 8 jam berbalas tembakan

Suspek tembak 6 polis serah diri selepas 8 jam berbalas tembakan

Pertempuran yang berlaku adalah sengit dan sekurang-kurangnya 100 das tembakan kedengaran.

Seorang penjenayah bertempur dengan pihak polis selama 8 jam dalam insiden yang berlaku di Nicetown-Tioga, Philadelphia.
WASHINGTON:
Satu insiden tembakan yang mencederakan 6 pegawai polis pada Rabu petang di bandar Philadelphia, Amerika Syarikat berakhir pada Khamis pagi selepas suspek menyerah diri, lapor agensi berita China Xinhua.

Eric Gripp, jurucakap jabatan polis bandar itu, mengumumkan sejurus selepas waktu tengah malam suspek kini dalam tahanan, setelah bertempur dengan pihak polis selama 8 jam.

Suspek dikenali sebagai Maurice Hill, 36, yang memiliki rekod jenayah lampau panjang berkaitan kesalahan dadah.

Gripp berkata semua mangsa yang cedera dibenarkan keluar dari hospital.

Insiden tembakan itu berlaku di kawasan Nicetown-Tioga pada Rabu petang selepas pihak polis memasuki sebuah rumah untuk menyerahkan waran tangkap berkaitan kesalahan dadah namun diserang dengan tembakan bertubi-tubi.

Polis kemudian berundur sebelum mengepung bangunan itu dan berbalas tembakan dengan suspek.

Dua pegawai polis dilaporkan terperangkap dalam bangunan itu semasa pertempuran itu dan kemudian dibebaskan selepas rundingan.

Seorang saksi wanita memberitahu saluran TV tempatan WPVI, pertempuran yang berlaku adalah sengit dan sekurang-kurangnya 100 das tembakan kedengaran.

Insiden itu mengganggu rutin hidup penduduk berhampiran apabila polis mengepung banyak blok di sekitar lokasi kejadian dan menghalang penduduk tempatan daripada memasukinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.