
“Saya akan keluarkan satu kenyataan kerana penjelasan saya tentang tulisan jawi dipetik luar daripada konteks,” kata Wong ketika dihubungi FMT, hari ini.
Wong yang merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai berkata, klip video itu merupakan presentasinya pada satu majlis Jumaat lepas.
Terdahulu, tular di media sosial satu klip video berdurasi 22 saat menunjukkan Wong yang bercakap dalam bahasa Cina menayangkan paparan beberapa gambar buku yang didakwanya sebagai buku lucah.
“Ini adalah buku-buku lucah yang diterbitkan dalam tulisan jawi pada masa dulu.
“Kita lihat sahaja dan lupakannya. Kalau ekstremis-ekstremis Islam nampak ini, mereka takkan benarkan kita guna tulisan jawi kerana jawi digunakan untuk menulis benda-benda macam ini,” katanya menurut sari kata yang disertakan di bahagian bawah klip video berkenaan.
“Menghina agama kita,” kata Wong seperti dipetik sari kata itu.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan kerajaan akan meneruskan pengenalan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 bermula tahun depan.
Bagaimanapun, kementeriannya memberi pilihan kepada guru untuk mencari kaedah terbaik mengajar dan mempraktikkan tulisan tersebut dalam bilik darjah.