
Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkata, sistem pertukaran itu juga boleh membantu kebajikan guru terutama bagi menyelesaikan isu pasangan berjauhan atau penempatan jauh dari keluarga.
Katanya, untuk tahun hadapan KPM menjangka seramai 509,451 kakitangan diperlukan bagi mengoperasikan pendidikan awal, rendah, menengah dan lepas menengah.
“Ini menunjukkan pengurusan sumber manusia perlu diberi perhatian serius bagi memastikan setiap sekolah mempunyai guru yang mencukupi.
“Adakah KPM berhasrat melaksanakan sistem pertukaran suka sama suka, seperti yang baru dilaksanakan KKM?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Wong berkata, beliau yakin pengurusan sumber manusia yang menjadi isu kritikal ketika ini akan bertambah baik menerusi sistem tersebut.
Pada 1 Okt lalu, KKM melancarkan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) untuk mengurangkan birokrasi, mempercepatkan proses pertukaran penempatan dan menjaga kebajikan warga kesihatan.
KKM berkata, fasa pertama dibuka kepada skim jururawat sebelum diperluas secara berfasa mulai 2026 kepada skim pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dan penolong pegawai farmasi.
Dalam pada itu, Wong berpendapat subjek baharu pendidikan karakter akan diperkenalkan di sekolah bermula tahun depan tidak boleh dilaksanakan melalui sistem peperiksaan bertulis semata-mata.
Beliau mencadangkan penilaian subjek itu dilaksana melalui pendekatan berasaskan projek seperti penglibatan komuniti, kerja berpasukan, aktiviti khidmat masyarakat serta aplikasi nilai dalam kehidupan sebenar.
“Inilah pendidikan karakter yang sebenar, bukan hafalan di atas kertas,” katanya.