Nasib kilang bateri di Jenjarom diketahui akhir Ogos

Nasib kilang bateri di Jenjarom diketahui akhir Ogos

Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keselamatan alam sekitar, selain tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang.

Exco Selangor Hee Loy Sian (tengah) melawat kilang bateri di Jenjarom pada 19 April lepas.
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri berkata, keputusan sama ada hendak mengekalkan atau menempatkan semula kilang bateri di Jenjarom akan dibuat selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengutamakan keselamatan alam sekitar, selain tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu bertindak adil kepada semua pemegang taruh, termasuk pelabur, selagi mereka mematuhi semua terma dan syarat ditetapkan.

Dalam kes pengeluar bateri Leoch Accupower (M) Sdn Bhd, kerajaan negeri telah menjalankan siasatan dan masih mengkaji sama ada aktivitinya menyumbang kepada masalah pencemaran air, udara dan tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Penduduk Kampung Jenjarom mengadakan perhimpunan bantahan di hadapan kilang pembuatan bateri itu pada April lepas, bagi mendesak kerajaan negeri menghentikan operasi kilang tersebut dan memindahkannya ke lokasi lain.

Penduduk tidak berpuas hati dengan keputusan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberikan lesen sementara setelah menimbangkan surat sokongan daripada beberapa jabatan teknikal, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hee berkata, satu siasatan mendalam perlu dilaksanakan bagi menentukan paras pencemaran asid dan plumbum yang berlaku.

Katanya, kebakaran disebabkan litar pintas yang berlaku di kilang itu pada 2017 menyebabkan 80% kemudahan kilang dan 1,200 tan bahan musnah. Ini mungkin menjadi punca pencemaran.

Hee berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), JAS dan Jabatan Kesihatan Selangor terlibat dalam memeriksa status kilang berkenaan.

Katanya, majlis daerah telah diarahkan supaya menyelaras dan mengumpulkan dapatan kajian daripada semua agensi berkaitan menjelang pertengahan Ogos ini bagi menyediakan satu laporan komprehensif kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Beliau berharap penduduk yang tinggal berdekatan kilang bersabar sementara menunggu keputusan dibuat oleh pihak berkuasa.

“Sementara itu, majlis daerah dan JAS akan terus memantau rapat aktiviti kilang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.