
Pengisytiharan itu dibuat Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque III pada 6 Ogos lalu selepas mesyuarat penuh Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).
Katanya, jumlah kes meningkat sebanyak 98% berbanding tempoh sama tahun lalu. Daripada jumlah itu, 622 pesakit disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana selaku pengerusi NDRRMC mengeluarkan satu memorandum kepada semua unit respons bencana di negara itu bagi pelaksanaan ketat pengisytiharan epidemik denggi kebangsaan.
Menurut laporan Jabatan Kesihatan Filipina, kes paling banyak berlaku di Visayas Barat sebanyak 23,330 kes. Tujuh daripada 17 wilayah dijangka melepasi ambang epidemik denggi sejak 3 minggu lalu secara berturut-turut.
Duque berkata, jumlah kes di seluruh negara bagi tempoh seminggu dari 14 hingga 20 Julai lalu ialah 10,502 atau 71% lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2018.
Filipina bertegas mengharamkan vaksin denggi pertama dunia yang satu-satunya dilesenkan, Dengvaxia, yang dikeluarkan firma farmaseutikal Perancis, Sanofi Pasteur, susulan kematian berpuluh-puluh kanak-kanak yang merupakan antara lebih 700,000 orang menerima suntikan vaksin itu pada 2016 dan 2017 dalam satu kempen imunisasi kerajaan.
Pada 2016, Filipina menjadi negara pertama di Asia meluluskan penggunaan Dengvaxia, namun setahun kemudian, ia mengharamkan vaksin itu selepas Sanofi Pasteur mengumumkan dalam beberapa kes jarang berlaku, orang yang tidak pernah dijangkiti denggi boleh dijangkiti penyakit itu dalam bentuk lain yang lebih teruk.