Lelaki mengaku tak bersalah tipu 751 tiket konsert palsu

Lelaki mengaku tak bersalah tipu 751 tiket konsert palsu

S Kelvin Raj dituduh menipu seorang jurujual untuk mempercayai 751 tiket yang dijualnya adalah benar sehingga mendorong mangsa memasukkan RM151,956 ke akaun bank tertuduh.

Kumpulan Westlife akan beraksi di Malaysia minggu ini.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas 45 pertuduhan menipu 751 keping tiket Konsert Westlife palsu membabitkan kerugian RM 151,956.

S Kelvin Raj, 23, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-45, lelaki itu dituduh menipu seorang jurujual, Sim Ting Ting, 29, untuk mempercayai semua tiket konsert Westlife yang dijualnya adalah benar sehingga mendorong mangsa membuat kemasukan wang berjumlah RM151,956 ke dalam akaun Hong Leong Bank milik tertuduh secara berperingkat bermula 23 Mac sehingga 25 Mei tahun ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Taman Serdang Raya, Seri Kembangan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim menawarkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam R Krishna Murthy memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua ibu bapa anak guamnya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai selain melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 23 Sept untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.