SPRM diminta siasat 3 pemimpin PPBM Bahagian Bagan Datuk seleweng

SPRM diminta siasat 3 pemimpin PPBM Bahagian Bagan Datuk seleweng

AJK PPBM Bahagian Bagan Datuk, Bahaman Tokiran mendakwa 3 pemimpin tertinggi bahagian itu menjual 2 daripada 3 ekor lembu yang didermakan menteri besar Perak kepada penduduk setempat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Bahaman Tokiran (tengah) menunjukkan laporan SPRM yang dibuatnya mengenai penyelewengan 3 pemimpin tertinggi PPBM Bahagian Bagan Datuk.
PUTRAJAYA:
Seorang ahli jawatankuasa PPBM Bahagian Bagan Datuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini bagi menggesa ia menyiasat 3 pemimpin bahagian itu yang didakwa terbabit dalam penyelewengan.

Bahaman Tokiran mendakwa 3 pemimpin tertinggi PPBM Bahagian Bagan Datuk menjual 2 daripada 3 ekor lembu yang didermakan menteri besar Perak kepada penduduk setempat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Beliau menamakan Ketua PPBM Bahagian Bagan Datuk, Abdul Malik Karim bersama Timbalannya, Mohd Robion Bandi @ Ali Bandi dan Naib Ketua, Zul Azni Kamirin dalam laporan itu.

“Kami mendapat maklumat sepatutnya 3 ekor lembu yang diberikan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu kepada Abdul Malik telah diseleweng.

“Dua ekor lembu itu dijual oleh timbalan dan naib ketua bahagian PPBM Bagan Datuk dan mereka mengambil duit itu.

“Jumlah 2 ekor itu dianggarkan dijual RM5,000 seekor. Hanya 1 ekor lembu saja diagihkan ketua PPBM Bahagian Bagan Datuk.

Bahaman Tokiran menunjukkan perbualan dalam WhatsApp mengenai penjualan 2 ekor lembu yang setiap satu berjumlah RM5,000.

“Saya juga salah seorang penduduk di Bagan Datuk terkilan dengan tindakan 3 pemimpin itu yang melanggar hukum syariah Islam,” katanya di luar Ibu Pejabat SPRM selepas membuat laporan itu bersama 3 lagi AJK bahagian itu.

Bahaman berkata, bukti dalam bentuk audio perbualan telefon dan mesej WhatsApp antara timbalan serta naib ketua bahagian itu sudah diserahkan kepada SPRM.

Katanya, beliau membuat laporan kepada SPRM kerana tiada tindakan diambil pucuk pimpinan selepas dakwaan itu dibangkitkan dalam mesyuarat bahagian pada awal Januari lalu.

“Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi pada Hari Raya Aidiladha tahun ini. Kami mengambil masa lama untuk membuat laporan kepada SPRM disebabkan masalah dalaman parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.