Tutup mulut, pemimpin PPBM beritahu kumpulan pro-Anwar

Tutup mulut, pemimpin PPBM beritahu kumpulan pro-Anwar

Semalam Otai Reformasi berkata, kumpulan itu tidak senang dengan sikap tidak tetap pendirian Dr Mahathir.

Anggota majlis tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata, gesaan supaya Anwar dilantik sebagai perdana menteri bersifat kebudak-budakan dan dibuat hanya kerana ego sesetengah orang.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PPBM menempelak Otai Reformis kerana berkata bahawa ia akan menetapkan tarikh untuk Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anggota majlis tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata, kumpulan itu sepatutnya “tutup mulut” dan belajar untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

Semalam, setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, kumpulan itu tidak senang dengan sikap tidak tetap pendirian Mahathir dan akan mengumumkan minggu depan satu tarikh bagi peralihan kuasa itu.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apakah yang akan dilakukan oleh Otai Reformis sekiranya Mahathir tidak melepaskan jawatan pada tarikh berkenaan.

Bercakap kepada FMT, Tariq berkata, gesaan supaya Anwar dilantik sebagai perdana menteri mengganggu dan bersifat kebudak-budakan serta dibuat hanya kerana ego sesetengah orang.

“Mahathir bukan tidak tetap pendirian,” katanya. “Beliau perlu memperbetulkan keadaan dan telah berkali-kali berkata akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Ekonomi negara harus diutamakan berbanding keinginan mahu menguasai Putrajaya. Menetapkan tarikh di sana sini tidak menjana keyakinan komuniti perniagaan dan pelabur asing.”

Tariq juga berkata, Otai Reformis perlu sedar bahawa ahli Parlimen mesti bersetuju untuk menyokong individu yang dicadangkan oleh Mahathir kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pengganti beliau.

Seorang lagi anggota majlis tertinggi PPBM, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata, Otai Reformis seharusnya menggesa Anwar bekerja rapat dengan Mahathir untuk membina semula negara.

Beliau berkata, Mahathir memerlukan masa untuk “melakukan perkara terbaik yang boleh dilakukannya sebagai pemimpin berpengalaman”, selain menambah bahawa beliau mahu melihat Mahathir menyudahkan penggal pemerintahannya bagi menjamin kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau mempersoalkan sama ada Anwar akan meneruskan dasar Mahathir.

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, gesaan Otai Reformis hanya berkesan sekiranya ia disertakan dengan ancaman untuk membawa rasa tidak puas hati mereka ke jalan raya kerana ia akan mencetuskan ketidakstabilan politik.

Katanya, tanpa ancaman sedemikian, hanya keputusan majlis presiden PH diambil kira.

Mengikut perjanjian yang dipersetujui pimpinan PH, Anwar bakal menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri 2 tahun selepas pakatan politik itu mengambil alih kuasa kerajaan.

Mahathir bagaimanapun berkata, tiada tarikh khusus ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.