
Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih” akan disempurnakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah dan negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di Bandar Hilir.
Mahathir dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dijangka tiba pada 8.45 malam dan disambut dengan persembahan ‘Selamat Datang’.
Majlis akan dimulakan dengan ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo, disusuli Ketua Menteri Melaka Adly Zahari sebelum diakhiri dengan ucapan pelancaran oleh Mahathir.
Acara pelancaran itu juga akan diserikan dengan pelancaran gimik, upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku, persembahan tarian serta konsert oleh beberapa artis terkenal tanah air.
Pada majlis yang dijangka dihadiri 30,000 orang itu, perdana menteri juga akan melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019.
Sebanyak 25 ruang pameran disediakan sepanjang program 3 hari itu yang berlangsung sejak 2 Ogos bagi memudahkan maklumat mengenai program dan inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.
Selepas pelancaran, pelbagai program serta acara disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menuju sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kuching, Sarawak.