
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Washington menarik diri sepenuhnya daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) kerana mendakwa Rusia melanggar perjanjian berkenaan.
Setiausaha Pertahanan Mark Esper dalam satu kenyataan berkata, AS akan menjalankan semula penyelidikan terdahulu yang sebelum ini dilarang di bawah perjanjian itu, lapor agensi berita Anadolu.
“Sekarang kita telah tarik diri, Jabatan Pertahanan memulakan semula pembangunan peluru berpandu sebagai tindak balas berhemah terhadap tindakan Rusia,” katanya.
“Jabatan Pertahanan akan bekerjasama rapat dengan sekutu kami ketika kami sedang bergerak ke depan untuk melaksanakan Strategi Pertahanan Nasional, melindungi kapasiti pertahanan negara,” tambahnya.
Sementara itu, Rusia menyifatkan langkah AS itu sebagai “kesilapan yang serius.”
Ketika mengumumkan AS menarik diri daripada INF, Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata, Rusia “bertanggungjawab sepenuhnya dengan berakhirnya perjanjian itu” kerana sejak 6 bulan lalu Moscow diberi “peluang terakhir untuk membetulkan keadaan.”
Perjanjian INF dilihat sebagai asas keselamatan Eropah dalam era Perang Dingin selepas AS dan Rusia menandatanganinya pada 1987.
Di bawah perjanjian berkenaan ia melarang sebarang pelancaran peluru berpandu jarak sederhana, dengan jarak antara 500 hingga 5,500 kilometer.
Trump pada Oktober lalu mengumumkan AS menarik diri daripada perjanjian berkenaan dan menuduh Moscow tidak mematuhi kesepakatan itu.