Jho Low cuba halang dokumentari berkait 1MDB diedar, kata laporan

Jho Low cuba halang dokumentari berkait 1MDB diedar, kata laporan

Dokumentari ini pertama kali ditayangkan di pesta Doc NYC di New York November lepas dan setelah itu di Malaysia melalui saluran Astro First.

Ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho, atau Jho Low.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dikatakan cuba menghalang satu dokumentari bertajuk The Kleptocrats, berdasarkan kontroversi 1MDB, daripada pengedaran lanjut, lapor The Hollywood Reporter (THR) semalam.

Dokumentari ini pertama kali ditayangkan di pesta Doc NYC di New York pada November lepas dan setelah itu di Malaysia melalui saluran Astro First.

THR berkata, firma guaman Schillings yang berpangkalan di London menuduh The Kleptokrats memfitnah anak guamnya dengan mendakwa beliau merupakan dalang utama skandal tersebut.

Ia juga mendakwa dokumentari berkenaan melanggar undang-undang hak cipta dalam penggunaan petikan video dan mungkin mengganggu beberapa prosiding undang-undang yang sedang berjalan.

THR berkata, pembuat filem tersebut mendakwa surat itu hanyalah satu percubaan intimidasi untuk menghalang filem berkenaan daripada ditayangkan dan sedang menentangnya.

Ia berkata, peguam Jho Low menghantar surat kepada beberapa pengedar dan platform yang menyiarkan The Kleptokrats dan meminta filem itu dikeluarkan daripada katalog mereka.

Dokumentari itu yang diarahkan oleh Havana Marking dan Sam Hobkinson dijadualkan disiarkan di Starz (sebuah rangkaian televisyen satelit dan kabel premium di Amerika Syarikat) pada 5 Ogos dan kemudian itu di BBC tahun ini.

Filem itu mengandungi antara lain temu bual dengan wartawan yang melaporkan skandal tersebut, termasuk daripada New York Times, Wall Street Journal dan THR.

THR berkata, tahun lepas, peguam Jho Low juga cuba menghalang kedai buku di seluruh dunia daripada menjual buku berjudul Billion Dollar Whale mengenai skandal berkenaan yang ditulis oleh wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright.

Buku berkenaan mungkin dijadikan filem oleh syarikat penerbitan Crazy Rich Asians, SK Global dan label antarabangsanya Ivanhoe Pictures. MIchelle Yeoh dijangka menerbitkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.