Afrika Selatan catat kadar pengangguran tertinggi 29% pada suku ke-2 2019

Afrika Selatan catat kadar pengangguran tertinggi 29% pada suku ke-2 2019

Angka Jabatan Perangkaan Afrika Selatan menyebut kadar pengangguran meningkat 1.4% berbanding 27.6% pada suku pertama 2019 kepada 29% pada suku ke-2 2019.

Kali terakhir Afrika Selatan berdepan kadar pengangguran terburuk ialah pada 2003, yang melebihi 28%. (Gambar Reuters)
JOHANNESBURG:
Afrika Selatan menyaksikan tahap pengangguran tertinggi dengan sejumlah 6.7 juta orang tidak bekerja, yang terburuk di negara itu sejak krisis kewangan global lebih sedekad lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu laporan kerajaan.

Menurut laporan yang disiarkan Jabatan Perangkaan Afrika Selatan, kadar pengangguran meningkat sebanyak 1.4% berbanding 27.6% pada suku pertama 2019 kepada 29% pada suku kedua 2019.

Dapatan itu mendedahkan tahap pengangguran adalah tinggi di Afrika Selatan dan hanya terdapat beberapa pekerjaan yang terbuka untuk persaingan.

“Kira-kira 71.5% daripada mereka yang menganggur mencari kerja untuk tempoh setahun atau lebih,” menurut survei buruh.

Laporan itu dikeluarkan semasa negara tersebut berdepan pertumbuhan ekonomi yang lembap dan kebimbangan pemberhentian pekerja di beberapa syarikat, justeru meningkatkan tekanan kepada pentadbiran baru Presiden Cyril Ramaphosa semasa ia bertungkus-lumus mewujudkan peluang pekerjaan.

Survei itu mendapati daripada sejumlah 6.7 juta penganggur, 57% masih belajar, namun tidak menamatkan sekolah menengah, manakala hanya 2.2% adalah graduan dengan kelayakan universiti dan 6.9% memiliki kelayakan pengajian tinggi lain.

Kali terakhir Afrika Selatan berdepan kadar pengangguran terburuk ialah pada 2003, yang melebihi 28%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.