Adun PPBM Selangor sepakat mahu Dr M habiskan penggal PM

Adun PPBM Selangor sepakat mahu Dr M habiskan penggal PM

Mereka tidak melihat keperluan untuk Mahathir Mohamad berundur walaupun semua komponen PH dikatakan bersetuju dengan rancangan serah kuasa.

SHAH ALAM: Sekumpulan Adun PPBM Selangor hari ini sepakat mahu Pengerusi Dr Mahathir Mohamad terus memegang jawatan perdana menteri sehingga habis penggal, susulan sokongan sama daripada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS.

Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata mereka tidak nampak keperluan untuk Mahathir berundur sebelum misinya selesai dengan sempurna.

Pengunduran Mahathir dan serahan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, pilihan pertama Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri, itu dikatakan dipersetujui semua parti komponen sebelum pilihan raya umum lalu.

“Kami menyeru kepada semua ahli Parlimen PPBM dan Pakatan Harapan, juga Adun PPBM dan Pakatan Harapan negeri-negeri lain, agar berdiri teguh di belakang kepimpinan Mahathir,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menambah serahan kuasa sebelum penggal tamat akan merencatkan pentadbiran Putrajaya dan menjejaskan sokongan pelabur.

Adun Jeram, Mohd Said Rosli mendakwa pembangkang juga menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum ke-15.

“Walaupun kerusi kita sedikit di Parlimen, sokongan dari pembangkang itu sudah memadai untuk Mahathir kekal,” katanya.

Adun Batang Kali, Harumaini Omar pula meminta para penyokong Anwar berhenti mendesak kuasa diserahkan sebelum penggal tamat.

“Ia harus dihentikan kerana ianya boleh kelirukan rakyat,” katanya.

Pada Isnin, Azmin berkata Mahathir perlu dibuat peluang memimpin hingga penggal tamat bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar kerajaan.

Perkembangan ini menyusuli pertelagahan antara beliau dan Anwar berkaitan video seks sejenis yang menyasarnya.

Ia selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengulangi pendirian parti Islam itu untuk bekerjasama dengan Umno mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri sehingga penggal tamat.

Gambar: Sallehudin (tengah), Shaid (kiri) dan Harumaini (kanan) pada sidang media di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.