NGO tawar RM10,000 pada pemandu teksi, e-hailing kesan bekas suami Indira

NGO tawar RM10,000 pada pemandu teksi, e-hailing kesan bekas suami Indira

Pasukan Bertindak Indira Gandhi turut mengupah sepasukan penyiasat peribadi untuk memburu Mohd Riduan dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada pasukan khas polis.

Mohd Riduan melarikan Prasana Diksa ketika beliau berusia setahun pada 2009.
PETALING JAYA:
Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada pemandu kenderaan komersial yang mempunyai maklumat mengenai bekas suami M Indira Gandhi, Mohd Riduan @ K Pathmanathan yang menculik anak perempuannya berusia 11 tahun.

“Ingat menawarkan RM10,000 kepada semua pemandu teksi, Grab, pasukan tarik kereta, penghantar kurier dan makanan, bas ekspres di utara Semenanjung Malaysia (khasnya ke Thailand) dan pemandu kenderaan komersial dengan maklumat yang membolehkan penahanan Riduan.

“Semua maklumat boleh disalurkan kepada hotline penyiasatan kami 016-7114252 atau 012-6755327,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Indira membuat laporan polis di Petaling Jaya mendakwa badan bukan kerajaan mesra PAS, pemisah di selatan Thailand dan pengikut mualaf Dr Zakir Naik terbabit dalam melindungi Riduan.

Beliau turut mendakwa menerima satu panggilan daripada nombor tidak diketahui baru-baru ini yang memaklumkan Riduan tinggal di Golok di bawah perlindungan kumpulan itu.

Prasana Diksa berusia setahun pada 2009, ketika Riduan mengambilnya daripada Indira.

Indira berjaya membatalkan penukaran agama 3 anaknya oleh Riduan pada 29 Januari 2018, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Ingat pernah menawarkan ganjaran RM10,000 kepada orang ramai untuk menjejaki Riduan pada 23 Februari lalu.

Hari ini, Ingat berkata, ia turut mengupah sepasukan penyiasat peribadi untuk memburu Riduan dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada pasukan khas yang ditubuhkan polis untuk mengesan Riduan serta Prasana.

“Kami positif dapat mengesan Riduan dalam masa beberapa minggu. Pasukan penyiasat itu mempunyai sumber di Thailand juga.

“Lebih baik Riduan menyerah diri dan tidak bersembunyi daripada semua masalah yang beliau timbulkan.”

Ingat turut menggesa isteri dan kenalan Riduan yang tahu kedudukannya serta Prasana supaya tampil atau mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi individu diburu pihak berkuasa.

Badan bukan kerajaan yang ditubuhkan beberapa ahli persatuan sivil untuk membantu Indira mencari Prasana itu berkata, Ingat akan memulakan jelajah dari Pulau Pinang ke Kelantan, Perak dan negeri lain mulai bulan depan untuk menjelaskan isu itu dan usaha mengembalikan Prasana kepada Indira.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.