Kematian mengundang si ibu jika tidak periksa kandungan

Kematian mengundang si ibu jika tidak periksa kandungan

Pemeriksaan perlu dilakukan sebaik sahaja anda disahkan mengandung untuk melihat janin berada di dalam atau luar rahim bagi elak kematian.

Setiap wanita yang berkahwin tidak dinafikan pasti mengharapkan untuk mempunyai zuriat sendiri.

Tidak kiralah sama ada anda mengandung sejurus selepas berkahwin atau anda mengambil masa yang lama sebelum disahkan mengandung, sudah pasti anda mahu kandungan itu berada dalam keadaan sihat dan sempurna.

Sehubungan itu, sebaik sahaja anda disahkan mengandung perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah melakukan pemeriksaan kandungan anda bagi mengetahui usia kandungan dan kedudukan janin.

Dan sebaik sahaja anda berjumpa doktor perkara pertama yang diperiksa adalah dengan melakukan imbasan janin.

Ia adalah bagi memastikan janin tersebut berada di dalam rahim atau sebaliknya.

Jika tidak, ia dikategorikan sebagai kehamilan luar rahim atau kehamilan ektopik (ectopic pregnancy).

Dan kandungan ini sangat berisiko hingga boleh membahayakan nyawa ibu jika lewat dikesan.

Malah kebanyakan kes kehamilan ektopik berlaku dalam tiub fallopian selain di rongga abdomen, ovari, cornu rahim dan serviks.

Antara tanda-tanda awal yang akan dirasai oleh ibu ialah kesakitan seperti angin mencucuk di bahagian perut dan ia datang dalam keadaan yang kerap.

Kemudian sakit itu akan lebih melarat sehingga menyebabkan ibu tidak boleh berdiri dan berpeluh, sehingga ada yang merangkak menahan kesakitan.

Jika tanda seperti ini berlaku, ibu disarankan segera pergi ke hospital kerana kematian boleh berlaku akibat pendarahan yang berlaku dalam perut.

Pihak hospital peringkat permulaan akan memeriksa tekanan darah bagi memastikan anda berada dalam keadaan stabil sebelum anda ditolak ke dewan bedah untuk membersihkan segala pendarahan yang berlaku.

Selepas anda dikesan mengandung luar rahim dan tiub fallopian perlu dibuang ia akan menyebabkan ibu tersebut tidak lagi boleh melahirkan anak secara normal pada masa hadapan.

Ini kerana tiub fallopian hanya ada satu dan ia akan menyebabkan anda berdepan dengan sebarang risiko.

Oleh itu, langkah sewajarnya untuk semua ibu yang baru mengandung dengan melakukan pemeriksaan kandungan seawal 3 minggu untuk mengelakkan kejadian sebegini berlaku.

Menurut portal MyHealth, punca kehamilan luar rahim tidak diketahui.

Namun anda mungkin lebih berisiko sekiranya tergolong dengan ciri ini:

  • Pernah mengalami kehamilan ektopik
  • Penyakit Radang Pelvis (PID) atau Salpingitis (Radang tiub fallopian)
  • Mengalami kesukaran mengandung (subfertility)
  • Pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis
  • Pernah menjalani pensterilan tiub atau tiub fallopian diikat Endometriosis
  • Menggunakan Peranti Kontraseptif Intrauterine (IUCD)
  • Menjalani rawatan kesuburan

Tanda kehamilan luar rahim biasanya berlaku pada minggu 5-8 kehamilan.

Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda atau gejalanya pada minggu ke-5 hingga ke-8 kehamilan.

Oleh itu, penting bagi ibu mendaftarkan kehamilan seawal mungkin bagi menjalani rutin pemeriksaan yang menyeluruh.

Berikut adalah antara tanda awal kehamilan luar rahim yang perlu diberi perhatian

  • Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan)
  • Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap
  • Sakit hujung bahu (yang disebabkan oleh pendarahan intra-abdomen)
  • Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar
  • Jika kehamilan luar rahim gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan, tiub fallopian boleh pecah lalu menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada peringkat ini, ibu hamil mungkin mempunyai gejala berikut:

  • Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
  • Pening, pengsan, berpeluh dan letih-lesu
  • Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
  • Perut membengkak
  • Pucat

Jika berlaku tanda dan gejala di atas, jangan teragak-agak untuk segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.