
Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan ahli PKR di mesyuarat bulanan MPP yang bersidang hari ini bahawa takwim acara-acara parti dikeluarkan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan lebih awal.
“Pimpinan telah diingatkan untuk hadirkan diri dan memberikan keutamaan pada mesyuarat ini supaya kita boleh sebagai satu parti menyelaraskan dasar-dasar dan keputusan-keputusan yang diambil dengan lebih baik,” kata Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil kepada pemberita di tepian mesyuarat di ibu pejabat PKR.
Beliau berkata terserah kepada parti untuk menentukan tindakan seterusnya sekiranya ketua-ketuanya masih gagal menghadiri acara-acara parti.
“Pada waktu ini, peringatan telah diberikan,” katanya.
Ditanya adakah tindakan displin boleh diambil terhadap mereka, Fahmi berkata perkara itu bergantung kepada biro politik PKR.
Azmin, yang menjadi sasaran kontroversi video seks sejenis yang tersebar bulan lepas, juga tidak ditemui pada pemukiman pimpinan PKR di Port Dickson, Negeri Sembilan awal bulan ini, yang turut disertai Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad.
Ditanya sama ada PKR mengambil berat beberapa pemimpin parti belum mengikrarkan sokongan kepada Anwar sebagai yang dilakukan oleh kebanyakan pimpinan negeri, Fahmi berkata ia bukan lagi isu.
“Perkara itu tidak lagi timbul kerana MPP menerima sepenuhnya resolusi di pemukiman itu,” katanya, merujuk kepada acara di Port Dickson itu.
Ditanya mengenai seruan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin meminta aksi politik yang mengganggu proses membina negara dihentikan selepas pimpinan-pimpinan parti mengikrarkan sokongan kepada Anwar, Fahmi berkata pimpinan memutuskan untuk meninggalkan isu itu dan tumpu kepada masalah rakyat.
Ditanya sama ada lembaga disiplin PKR sudah mengarahkan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Ketua PKR Selangor, Amirudin Shari menjelaskan kenyataan-kenyataan kontroversi terhadap individu tertentu, Fahmi berkata perkara itu belum dimaklumkan kepada MPP atau biro politik.
Fahmi juga berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan desas-desus Azmin akan meninggalkan PKR untuk menyertai Gerakan. Menurutnya, Anwar berkata Azmin sudah menjawab isu itu.
Fahmi menambah parti itu juga tidak membincangkan kenyataan Mahathir menepis dakwaan pendirian bercanggah terhadap dakwaan seks melibatkan seorang bekas anggota Kabinet dan anggota masa kini, dipercayai merujuk kepada Anwar dan Azmin.