Lelaki mengaku tak bersalah bakar kereta mufti Perlis

Lelaki mengaku tak bersalah bakar kereta mufti Perlis

Tertuduh meminta mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin dengan alasan dia menanggung seorang isteri dan ibunya yang lumpuh serta bapa tiri berumur 70 tahun.

Mie Tomoi didakwa membakar kereta rasmi Mohd Asri Zainul Abidin bersama Azimar Abdul Razak di kediaman rasmi mufti Perlis itu kira-kira 5 pagi pada 22 Mac lalu. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Peniaga kain dari Baling, Ahmad Mee hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lalu.

Tertuduh yang lebih dikenali sebagai Mie Tomoi, 49, didakwa melakukan perbuatan itu bersama Azimar Abdul Razak, 36, di kediaman rasmi Asri di sini kira-kira 5 pagi.

Tertuduh meminta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Azimar yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 24 Mei lalu atas pertuduhan membakar kereta rasmi Asri juga mengaku tidak bersalah dan pohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Yayasan Biro Bantuan Guaman, Nur Dyiana Syukur mewakili tertuduh.

Dalam rayuan kepada mahkamah supaya mengurangkan ikat jamin, Dyiana berkata, anak guamnya menanggung seorang isteri dan ibunya yang lumpuh berumur 66 tahun serta bapa tiri berumur 70 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad membenarkan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 5 Ogos ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.