
Diberi gelaran “Phoenix”, Nor Diana Khamarulzaman ibarat burung cenderawasih, kecil tapi lincah, jatuh bangun semula, tidak kenal erti lelah demi matlamatnya.
Gadis berusia 19 tahun ini kelihatan seperti seorang yang pasif, namun mempamerkan perwatakan berbeza di atas gelanggang yang penuh lagak ngeri.
Ketika ditemubual FMT, ternyata Diana sebenarnya seorang pemalu apabila berhadapan umum apatah lagi media.
“Tapi bila dah naik pentas, saya dapat rasai keyakinan daripada penonton yang teruja untuk melihat wanita berhijab beraksi,” katanya.

Meskipun bidang gusti yang disertainya berbentuk persembahan, setiap aksi dan lagak ngeri yang dipamerkan memerlukan latihan berterusan dan keadaan fizikal yang mantap.
Diana, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik swasta, memberikan komitmen untuk melatih dirinya 2 kali seminggu pada setiap Rabu dan Sabtu.
“Gusti persembahan sudah ditentukan siapa menang, siapa kalah, tapi setiap aksi itu semuanya betul. Tetap sakit bila kena lambung,” katanya

“Kita diajar untuk tahan sakit. Kena hempas mesti sakit sebab gelanggang bukan lembut. Semua orang tahu dan pernah ada kes mati pun, jadi ia bukan lakonan semata-mata.”
Menurut Diana, meskipun ia gusti persembahan, tiada raptai diadakan sebelum perlawanan bagi mengurangkan risiko kepada ahli gusti.
Mereka hanya akan berpakat sesama mereka bagi setiap perlawanan itu.

Diana mendedahkan dia sebenarnya mengalami kerosakan tisu di belakang badan dan bengkak di siku, namun ia tidak mendatangkan masalah kerana semangat dalam bidang yang diceburinya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Malaysia Pro Wrestling, Ayez Shaukat Fonseka berkata Diana ibarat kain putih.
Dia hanya mengikut langkah yang disusun Ayez yang mengatur penyertaan dalam beberapa acara gusti sehingga ke peringkat antarabangsa dan pertemuan bersama media.

Menurut Ayez, Diana memiliki semangat yang tinggi dalam setiap minatnya.
“Dia hanya tahu berlatih sahaja, tak tahu benda lain,” katanya kepada FMT.
“Saya mencipta watak yang sesuai dengan Diana, “Phoenix”. Kecil tapi lincah, dan bukan semua boleh jadi sepertinya.
“Ada seorang peninju yang memakai hijab sepertinya untuk sertai sukan ini, tapi hanya bertahan selama 2 bulan sahaja,” katanya lagi.

Ayez berkata pakaian gusti Diana yang berwarna merah, kuning dan emas pada baju dan merah jambu pada topeng, bernilai RM1,500 dan ditempah khas dari Amerika Syarikat dan Mexico.
Menurut Ayez, Diana pernah ditawarkan untuk menyertai persembahan di Jerman tetapi ditolak kerana gadis lincah itu tidak mahu pergi seorang diri.
Mereka akan berlepas ke Filipina minggu depan selama 4 hari untuk menyertai acara gusti di Manila.

Sebelum mengakhiri temubual, Diana sempat memberitahu FMT bahawa dia berharap dapat akan menjadi ahli gusti terkemuka di peringkat antarabangsa.
Jangan main-main dengan si kecil hijab Diana
https://www.facebook.com/fmtohsem/videos/2345422535730313/
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]