Pemuda PPBM dakwa serangan peribadi punca ketua Pemuda Johor digantung

Pemuda PPBM dakwa serangan peribadi punca ketua Pemuda Johor digantung

Ia selepas Norul Haszarul mengingatkan Syed Saddiq berhenti mengadu domba Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin apabila gagal melaksanakan tugasnya.

Keputusan menggantung Norul Haszarul Abu Samah dibuat menerusi perbincangan dalam majlis melibatkan ketua Pemuda PPBM.
PETALING JAYA:
Pemuda PPBM percaya kenyataan Ketua Pemuda PPBM Johor, Norul Haszarul Abu Samah mengenai isu had umur belia bukanlah sekadar memberi pandangan semata-mata, tetapi ia berbentuk serangan peribadi.

Penolong Setiausaha Pemuda PPBM Nasional Ahmad Redzuan Mohamad Shafi berkata, tidak sewajarnya Norul Haszarul mengeluarkan kenyataan sedemikian di media sosial memandangkan Pemuda PPBM sendiri mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan.

“Kita mempunyai pelbagai saluran, dia sendiri berada di dalam Pemuda PPBM. Kita ada kumpulan WhatsApp, kita juga ada mesyuarat minimum sebulan sekali. Sebelum ini, belum pernah beliau menyuarakan pendapat seperti mana yang disuarakan di Facebooknya.

“Itu kurang adil kepada kita, sedangkan kita buka ruang seluasnya, namun dia akhirnya gunakan media sosial. Melalui penulisan beliau, kita dapat baca ia bukan sahaja perbezaan pendapat tetapi dia pilih untuk lakukan serangan peribadi,” katanya kepada FMT.

Pada 12 Julai lalu, Norul Haszarul mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan kerajaan Johor dalam isu had umur belia. Beliau juga mengingatkan seorang menteri supaya berhenti bersikap mengadu domba meminta bantuan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin apabila gagal melaksanakan tugasnya.

Walaupun tidak menamakan menteri berkenaan, ia dipercayai merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, memandangkan ketua Pemuda PPBM itu sebelum ini mempertahankan keputusan kerajaan Persekutuan menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Pada 9 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali mengubah pendirian berhubung had umur belia di Johor, iaitu mengekalkan semula had umur golongan itu kepada 40 tahun. Ia dibuat selepas perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak.

Ahmad Redzuan berkata, keputusan menggantung jawatan Norul Haszarul dibuat menerusi perbincangan dalam majlis yang turut melibatkan ketua Pemuda PPBM, memandangkan jawatan diserahkan kepada Norul Haszarul tertakluk dalam bidang kuasa ketua Pemuda PPBM.

“Kita buat keputusan berdasarkan perbincangan dalam Majlis Ketua PPBM Malaysia, tidak rujuk kepada lembaga disiplin parti. Dia masih lagi ahli PPBM, cuma jawatannya sahaja yang kita gantung,” katanya.

Ahmad Redzuan dalam suratnya kepada Norul Haszarul pada 23 Julai lalu memaklumkan mengenai penggantungan jawatan berkenaan. Bahkan turut memaklumkan, tugas Norul Haszarul sebagai ketua Pemuda PPBM Johor akan diambil oleh Shaiful Rizal Mohd Salleh.

Norul Haszarul dalam kenyataan terbarunya hari ini berkata, walaupun menerima keputusan Syed Saddiq dengan hati terbuka, namun mendakwa PPBM seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi terbuka dan peka terhadap pandangan rakyat.

Beliau juga berkata tidak sanggup lagi berbalah dengan pihak Istana Johor dalam isu membabitkan had umur belia dan tidak sanggup untuk terus berdiam diri ketika hala tuju Pemuda PPBM tidak menumpukan kepada agenda rakyat dan memenuhi janji manifesto pilihan raya umum.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain untuk menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun. RUU itu diluluskan selepas dibahaskan 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkan hampir 5 jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.