
“Tidak ada pertembungan (Anwar-Azmin), tidak ada persamaan dalam politik itu memang begitu.
“Tetapi, kita bersatu sebab ramai di bawah, iaitu anggota parti menyokong presiden PKR,” kata presiden PH itu selepas merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2019 di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini.
Anwar dan Azmin tidak bersefahaman dalam kontroversi video seks sejenis apabila ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video yang tersebar sejak bulan lalu.
Ahad lalu, Anwar berusaha meyakinkan penyokongnya, beliau dan Azmin masih “satu pasukan”, manakala Azmin pula berkata, beliau dan Anwar bekerjasama untuk “banyak dekad”.
Walaupun timbalan presiden PKR itu dilihat menerima pelawaan berdamai daripada Anwar, beliau turut membangkitkan “kesetiaannya ada batas”.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Menteri Besar Selangor, Amirudin dirujuk ke Lembaga Disiplin parti kerana ada aduan bertulis diterima mengenai ketua PKR Perak serta Selangor itu.
Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, 2 pemimpin itu bersama beberapa ahli parti diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan mereka berhubung isu video seks sejenis itu kepada Lembaga Disiplin PKR.
Sebelum ini, sekumpulan ahli PKR Selangor membuat laporan terhadap Farhash kerana melaungkan “Azmin semburit” selepas dibebaskan daripada reman 8 hari di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kelmarin.
Sumber dilaporkan berkata, Amirudin dipanggil Lembaga Disiplin PKR kerana “ucapan yang dibuatnya pada majlis solat hajat” di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu.