Dr Mahathir mulakan lawatan rasmi 4 hari ke Turki

Dr Mahathir mulakan lawatan rasmi 4 hari ke Turki

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Dr Mahathir disambut di lapangan terbang oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki Abd Razak Abdul Wahab, Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank serta Gabenor Ankara Vasip Sahin. (Gambar Bernama)
ANKARA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan rasmi 4 hari ke Turki.

Pesawat khas yang membawa Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada 7.45 malam waktu tempatan (12.45 pagi Khamis waktu Malaysia).

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki Abd Razak Abdul Wahab, Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank serta Gabenor Ankara Vasip Sahin.

Mahathir mempunyai jadual yang padat semasa di Turki, dengan pelbagai mesyuarat dan temu bual dengan media di sini dan Istanbul, bermula dengan upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas dan presiden pertama Turki, di Anitkabir di sini, pada Khamis.

Selepas itu, Mahathir akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), pusat teknologi Turki dalam aspek reka bentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi; dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu; meliputi platform udara sayap tetap dan sayap berputar; serta UAV dan satelit.

Pada hari yang sama, Mahathir akan mengadakan pertemuan 4 mata dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di sini, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Selepas Ankara, Mahathir akan terbang ke Istanbul pada pagi Jumaat.

Pesawat yang membawa beliau akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, lapangan terbang yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad. Perdana menteri juga akan dibawa meninjau lapangan terbang berkenaan.

Pada hari yang sama, Mahathir akan menghadiri perbincangan meja bulat peneraju industri yang melibatkan kira-kira 35 syarikat utama Turki, dan kemudiannya beliau akan menghadiri majlis jamuan teh dengan diaspora Malaysia di Turki.

Semasa lawatan, perdana menteri diiringi oleh 3 orang menteri, iaitu Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking.

Lawatan rasmi Mahathir ke Turki atas jemputan presiden Turki bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan 2 hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turki, di mana hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sudah terjalin sejak 1964.

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion, sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.