Rosmah patuh notis SPRM isytihar harta, kata peguam

Rosmah patuh notis SPRM isytihar harta, kata peguam

K Kumaraendran berkata isteri mantan perdana menteri itu mematuhi arahan yang meminta beliau mengisytiharkan asetnya pada 8 Julai.

Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.
PUTRAJAYA:
Peguam Rosmah Mansor hari ini berkata isteri bekas perdana menteri itu mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan asetnya sebelum perbicaraan bermula pada Februari.

K Kumaraendran berkata Rosmah mematuhi notis di bawah Seksyen 49(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti 2001 pada 8 Julai.

“Rayuan kami terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan notis kini akademik,” katanya kepada pemberita.

Beliau menambah pasukan pembelaan Rosmah juga akan menarik balik permohonannya untuk menghentikan pematuhan notis SPRM di Mahkamah Tinggi pada Jumaat ini.

Peguam itu sebelum ini memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Rosmah menarik balik rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang bertarikh 24 Mei.

Hakim Abdul Rahman Sebli kemudiannya membatalkan rayuannya.

Notis itu dikeluarkan kepada Rosmah November tahun lepas. Beliau kemudian memfailkan permohonan untuk membatalkan notis itu dengan alasan beliau mungkin dikatakan bersalah. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.

Rosmah didakwa tahun lepas terhadap 17 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM14 juta.

Beliau didakwa dengan 5 tuduhan gagal mengisytiharkan pulangan cukai dari 2014 hingga 2018.

Beliau juga berdepan 3 dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak. Beliau dituduh menerima RM1.5 juta dan RM5 juta daripada pengarah Jeepak Holdings sebagai dorongan untuk mendapatkan kontrak itu.

Beliau juga dikatakan meminta RM187.5 juta daripada syarikat itu.

Jika disabitkan dengan rasuah, Rosmah berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah suapan yang diterima atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, beliau akan dikenakan denda maksimum RM5 juta atau lebih dan dipenjara antara 5 hingga 15 tahun jika didapati bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.