Jawatankuasa kaji keperluan penempatan semula di Pasir Gudang, kata menteri

Jawatankuasa kaji keperluan penempatan semula di Pasir Gudang, kata menteri

Yeo Bee Yin berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang itu dijangka dapat menyiapkan laporan dalam masa 5 minggu.

Hanya sebatang jalan 2 hala memisahkan sebuah taman perumahan (kanan) dengan kawasan perindustrian berat di Pasir Gudang, Johor. (Gambar Bernama)
BANGI:
Satu jawatankuasa sedang melakukan analisa jika ada keperluan untuk melakukan proses penempatan semula di Pasir Gudang, Johor, rentetan 2 insiden pencemaran di daerah itu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Katanya, jawatankuasa yang merangkumi pakar pelbagai bidang, termasuk bahan kimia, tanah, sungai, gas dan alam sekitar dijangka dapat menyiapkan laporan dalam masa 5 minggu.

Beliau berkata, analisis kedudukan sekolah dan kilang perlu dibuat sebelum diserahkan kepada kerajaan Johor bersama cadangan penempatan semula untuk langkah lanjut.

“Jika wujud keperluan untuk menempatkan semula mereka yang ada di Pasir Gudang, perkara seterusnya yang perlu dikaji ialah siapakah yang perlu dikeluarkan terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan “Low Carbon Cities 2030 Challenge” di GreenTech Malaysia hari ini.

Yeo berkata, pembangunan di Pasir Gudang terlalu padat dengan 2,000 kilang dan 257 daripadanya ialah kilang berasaskan bahan kimia.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar selesai memeriksa semua 257 kilang berasaskan bahan kimia dan 3 daripada kilang terbabit dikenakan tindakan mahkamah, manakala 12 lagi ditamatkan operasi.

Beliau berkata, pihak berkuasa sudah mengenal pasti kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang dan bahan disyaki boleh mengakibatkan pencemaran sudah diarah untuk dilupuskan.

Sementara itu, Yeo berkata, 85 sampel yang menunjukkan simptom gangguan kesihatan di Pasir Gudang didapati negatif toksik.

“Tiada kesan bahan kimia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.