Bekas tentera didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

Bekas tentera didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel pada 5 Mei dan belakang sebuah rumah di Bertam Malim pada 3 Jun lalu.

Tertuduh yang didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja 14 tahun berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
MELAKA:
Seorang bekas tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Zainal Abidin Zakaria, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Taman Kesidang Seksyen 3, antara 1 petang dan 3 petang, 5 Mei lepas.

Pertuduhan ke-2 pula, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama di belakang sebuah rumah di Bertam Malim, antara 1 petang dan 3 petang, 3 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu dia tidak boleh menghampiri mangsa dan keluarganya.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Fadzlillah Ramlee merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan anak guamnya menghidap kencing manis dan dia perlu menanggung 2 anak serta ibu mentua yang sedang uzur.

Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu Zainal Abidin tidak dibenar mengganggu ganggu mangsa dan saksi pihak pendakwaan dalam kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.