SPRM tangkap hakim dalam siasatan kes lepas pendatang haram

SPRM tangkap hakim dalam siasatan kes lepas pendatang haram

Ketua pesuruhjaya mengesahkan tangkapan itu, yang menyusuli tangkapan seorang peguam, timbalan pendakwaraya dan beberapa anggota polis.

KP SPRM, Latheefa Koya berkata siasatan berkenaan penahanan pendatang tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor atas dakwaan rasuah melibatkan pelepasan pendatang tanpa izin.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya mengesahkan tangkapan itu yang dibuat petang tadi.

Tangkapan itu berkaitan dengan penangkapan seorang peguam, timbalan pendakwaraya dan beberapa anggota polis baru-baru ini, katanya dalam kenyataan.

Dilaporkan mereka ditangkap kerana didakwa mengambil rasuah untuk mendapatkan pelepasan pendatang-pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa di Kuala Kubu Bharu.

“Siasatan berkenaan penahanan pendatang asing tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar,” kata Latheefa.

“Sejumlah wang telah juga dirampas semasa tangkapan dibuat,” tambahnya.

Malay Mail melaporkan peguam itu “membayar” RM17,500 yang dimaksudkan untuk anggota polis dan timbalan pendakwaraya bagi melepaskan pendatang-pendatang haram sebelum ditangkap oleh penyiasat SPRM.

Timbalan pendakwaraya juga didapati mempunyai RM82,500 yang dipercayai hasil daripada kegiatan suapan lain, kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.