Saman CEO Iksim: Khalid terima ganti rugi RM80,000

Saman CEO Iksim: Khalid terima ganti rugi RM80,000

Mahkamah juga memerintahkan CEO Iksim Mahamad Nasir Desa membayar kos RM20,000 dan mengeluarkan permintaan maaf awam.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memberi ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam saman fitnahnya terhadap ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Penyelidikan Strategik Islam Malaysia (Iksim).

Hakim Rohani Ismail berkata Khalid yang kini menjadi menteri Wilayah Persekutuan, membuktikan imbangan kebarangkalian dalam kesnya terhadap Mahamad Nasir Desa.

Peguam Faiz Fadzil yang mewakili Khalid, berkata hakim juga mengarahkan Mahamad membuat permohonan maaf secara terbuka kepada anak guamnya dalam akhbar dan membayar kos RM20,000.

Khalid yang merupakan ahli Parlimen selama 3 penggal, memfailkan saman fitnah terhadap Mahamad pada 2017 berhubung dakwaan pemimpin Amanah itu menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Mahamad mendakwa akta itu tidak boleh dipinda kerana “penduduk Shah Alam menghantar seorang ahli parlimen untuk menentang rang undang-undang berkenaan”.

Menurut Khalid, Mahamad membuat tuduhan itu dalam pembentangan kertas kerja di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam pada 28 September lalu.

Kenyataannya juga diterbitkan di laman web kumpulan hak asasi Melayu Isma.

Khalid berkata beliau tidak pernah menyatakan beliau menentang akta itu dan tuduhan Mahamad itu adalah tidak benar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.