
Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengesahkan punca kematian Ewansiha.
Katanya, Ewansiha meninggal dunia pada 9 Julai lalu dan sebelum itu rawatan awal sudah diberikan serta pengurusan kematian dilakukan mengikut prosedur operasi standard.
Beliau berkata, imigresen sudah mengadakan pertemuan dengan 22 wakil Suruhanjaya Tinggi Nigeria pada Jumaat lalu untuk menjelaskan sebab kematian Ewansiha.
“Perkara-perkara berkaitan imigresen telah dibincangkan dalam pertemuan berkenaan,” katanya dipetik Bernama dalam satu operasi bersepadu di Jalan Silang di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Khairul dilaporkan berkata, Ewansiha meninggal dunia 9 Julai lalu disyaki akibat serangan sawan ketika tidur.
Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam dan penyelia serta pegawai bertugas membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil selepas itu.
Ewansiha, 33, melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti Limkokwing di sini dan meninggalkan seorang isteri serta 2 anak yang masih kecil.
Ewansiha antara 20 warga asing ditahan dalam Ops Bersepadu pada 4 Julai lalu di Desa Aman Puri, Kuala Lumpur susulan aduan awam mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.
Beliau disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, polis memberi jaminan untuk terus memantau keadaan di Suruhanjaya Tinggi Nigeria selepas kira-kira 20 individu mendakwa daripada Nigerians In Diaspora Organization Malaysia mengadakan protes di depan suruhanjaya itu pada Jumaat lalu, susulan kematian Ewansiha.