
Beliau menggantikan Syed Nasir Hashim yang bersara selepas mengetuai PSM selama 23 tahun.
Ahli Jawatankuasa Pusat, S Arutchelvan pula menggantikan M Sarasvathy sebagai timbalan pengerusi yang turut menamatkan penggal maksimum jawatannya.
Jeyakumar, 64, berkata PSM akan memastikan langkah diambil bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan meningkatkan penggunaan kuasa solar.
“Isu ini tidak diambil secara serius. Kami mahu memastikan langkah diambil mengenainya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, parti itu juga akan memperjuangkan perumahan mampu milik bagi memastikan setiap rakyat boleh memiliki sebuah rumah.
Jeyakumar mendapat gelaran “Giant killer” selepas mengalahkan Presiden MIC ketika itu, S Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum 2008 dan beliau dipilih semula buat penggal ke-2 pada 2013.
Katanya, PSM sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mempunyai visi dan misi sama.
Lapan wanita turut dipilih memegang 15 jawatan dalam PSM. Antara muka baru dalam PSM adalah aktivis Chong Yee Shan, Y Kohila, Sharan Raj dan Teh Yee Cheu yang juga bekas Adun Tanjung Bungah di Pulau Pinang.