
Peralihan kepada meritokrasi secara tiba-tiba, katanya, boleh memburukkan lagi pergolakan politik dan sosial jika ia membawa kepada kursus profesional diisi dengan majoriti besar pelajar bukan Bumiputera.
“Sebarang sistem mesti adil bagi semua. Ini juga bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan atau boleh diterima dari segi politik. Ia akan menyebabkan ramai pihak tidak puas hati,” katanya kepada FMT dalam wawancara eksklusif.
Cadangan kemasukan universiti berdasarkan merit timbul daripada rasa tidak puas hati dengan sistem kuota semasa yang menyebabkan orang bukan Melayu berlatar belakang ekonomi rendah terlepas peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Bulan lepas, seorang pelajar cemerlang di universiti tempatan, M Nahvin menekankan keperluan meritokrasi dalam pendidikan Malaysia dalam ucapannya ketika menerima Anugerah Pendidikan Diraja. Beliau berkongsi kisah seorang rakannya yang mendapat keputusan SPM serupa, namun tidak mendapat tempat di matrikulasi sepertinya.
Jeyakumar, bekas Ahli Parlimen Sungai Siput berkata, kuota etnik perlu dikekalkan, tetapi sejajar dengan nisbah penduduk dan mengambil kira faktor status sosioekonomi pelajar
Sebagai contoh, katanya, memandangkan Bumiputera membentuk 70% populasi, kira-kira 40% hingga 50% tempat dalam kursus perubatan harus diberikan kepada Bumiputera B40, kurang kepada M40 dan kurang lagi kepada Bumiputera T20.
Prinsip yang sama harus diterapkan bagi kumpulan etnik lain, seperti masyarakat India, di mana pengagihan yang adil antara lapisan ekonomi berbeza harus diamalkan, tambahnya.
Jeyakumar berkata, sistem kuota semasa sering memberikan manfaat kepada segmen yang lebih kaya berbanding mereka yang berada “di bawah”, satu trend yang menurutnya mesti diubah.
Bagaimanapun, katanya, standard akademik minimum perlu untuk mengekalkan kualiti, dan beliau mencadangkan kursus persediaan tambahan bagi mereka yang memerlukannya.
“Jika tidak, kita berisiko terima calon yang kurang cemerlang. Jika mereka benar-benar berazam untuk belajar perubatan, mereka mungkin perlu mempertimbangkan mengambil tambahan satu atau dua tahun pengajian praperubatan untuk meningkatkan pengetahuan asas sains, mengembangkan pemikiran kritis dan meningkatkan kebolehan bahasa ke tahap yang mencukupi untuk menangani kursus perubatan dengan berkesan.”
Jeyakumar berkata, langkah ini juga akan memastikan keadilan bagi pesakit yang akan dirawat bakal-bakal doktor ini pada masa akan datang.
Pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sistem kuota di universiti awam akan dikekalkan tetapi pelajar yang cemerlang akan mendapat tempat di institut pengajian tinggi.
Katanya, sistem kuota itu akan terus dilaksanakan bagi mencapai keseimbangan pelajar Melayu dan Bumiputera di universiti.