
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, melalui pindaan akta itu, majikan yang memilih untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja perlu menepati piawaian yang ditetapkan dan jika gagal dipatuhi, mereka boleh didenda.
“Sekarang pindaan akta itu akan mengawal standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja. Sebelum ini Akta 446 hanya mengawal kemudahan penginapan untuk pekerja di estet.
Pindaan yang dibentangkan di Parlimen di bawah Kementerian Sumber Manusia akan memperluaskan lagi akta itu bukan setakat dari segi kemudahan untuk pekerja estet, tetapi juga pekerja industri lain.
“Ini juga memerlukan syarikat membekalkan kemudahan penginapan secara berpusat, justeru memerlukan mereka mengikut piawaian dari segi standard.
“Kemudahan bukan sahaja dari segi fizikal bahkan keperluan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada pekerja di situ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan “Seminar Perubatan Terkini Untuk Pembantu Perubatan Ladang” di sini.
Ketika ini, akta itu hanya diguna pakai untuk sektor perlombongan dan pertanian.
Rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen 2 hari lepas bertujuan meluaskan liputan akta sedia ada kepada semua sektor.
Lee berkata sekiranya diluluskan, pembantu perubatan di ladang memainkan peranan penting, bukan sahaja memberikan rawatan pencegahan penyakit berjangkit, sebaliknya turut memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja selamat serta bersih.
Seminar 2 hari yang bermula semalam itu bertujuan memberi pendedahan mengenai perubatan terkini, dihadiri seramai 70 pembantu perubatan di ladang.