
“Saya tidak sesekali membuat sebarang janji untuk mengangkat perkara ini kepada pihak peguam negara sebagaimana dakwaan beliau (Md Ali),” katanya sebagai respons terhadap laporan FMT berhubung isu itu semalam.
Ali mendakwa beliau ditahan secara salah dan tanpa perbicaraan di bawah Ordinan Darurat selama 3 tahun pada tahun 1990-an.
Ali kini menuntut sebanyak RM316,000 sebagai pampasan kerana “ditahan secara salah dan dipecat secara tidak sah” daripada pasukan polis, selain manfaat pesaraan lain.
Semalam FMT memetik kenyataan Ali bahawa Hamid memberitahunya beliau bebas untuk meneruskan tuntutannya di mahkamah dan mereka tidak akan menghalangnya berikutan satu pertemuan dengan ketua polis itu di Bukit Aman.

Bekas pegawai di Unit Siasatan Jenayah Berat Jabatan Siasatan Jenayah Polis (D9) itu berkata, KPN berjanji akan mengemukakan kesnya kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.
Katanya, Hamid mengakui itu adalah hak yang sepatutnya diberikan kepada beliau sebagai bekas pegawai polis.
“KPN menerima penjelasan saya. Mereka (Hamid dan pegawainya) mengalu-alukan saya dan melayan saya dengan baik,” katanya selepas pertemuan selama sejam dengan mengemukakan dokumen untuk menyokong dakwaan beliau.
Bagaimanapun Hamid berkata hari ini bahawa polis hanya menasihati beliau supaya memfailkan rayuan di mahkamah kerana ia adalah haknya di sisi Perlembagaan.
“Beliau berhak untuk meneruskan usaha menuntut keadilan berdasarkan prinsip ‘natural justice’,” katanya, selain mengambil maklum bahawa Ali mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah dan “ketidakadilan” sistem perundangan.
Ketika dihubungi hari ini berhubung kenyataan terbaru Hamid, Ali menjelaskan bahawa niat dan usaha membawa perkara itu kepada perhatian peguam negara dibuat oleh seorang pengarah polis selepas KPN meninggalkan pertemuan dengannya semalam.
“Beliau (pengarah polis) itu berkata, sekiranya boleh, beliau akan cuba merujukkan perkara itu kepada peguam negera sama ada tuntutannya boleh dipenuhi,” katanya kepada FMT.
Ali berkata, Hamid sebaliknya berjanji akan melihat bagaimana polis boleh membantu mengatasi masalah tuntutannya melalui prosedur operasi standard (SOP) pasukan itu.
“Setelah mendengar penjelasan saya, KPN berjanji cuba lihat dari sudut mana dalam peruntukan SOP polis untuk selesaikan tuntutan saya,” kata beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada polis dan pucuk pimpinannya yang “jelas menuju ke arah ketelusan dan integriti”.
Ali sebelum ini dilaporkan berkata, masalahnya bermula apabila beliau disalah tuduh mengetuai sekumpulan polis elit dari Unit Tindakan Cekap dalam satu siri rompakan pada 1995.
Unit itu adalah sebahagian daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan berpangkalan di semua ibu pejabat polis negeri.
Katanya, belia ditahan di Simpang Renggam, Johor, tanpa perbicaraan selama 3 tahun.
Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah dan pertuduhan ke atasnya diketepikan mahkamah pada 1998.
Beliau turut mendakwa dipecat secara tidak sah ketika ditahan di Simpang Renggam.
Ali mahu polis membuka semula siasatan ke atas dakwaan beliau mendalangi beberapa rompakan kerana mendakwa dirinya ialah mangsa konspirasi.