Dakwaan rasuah konspirasi untuk jatuhkan saya, kata exco Perak

Dakwaan rasuah konspirasi untuk jatuhkan saya, kata exco Perak

Abdul Yunus Jamhari berkata, dakwaan itu bermula sejak pemilihan PKR tahun lalu disebabkan sokongannya kepada Azmin Ali.

Abdul Yunus Jamhari akan membuat laporan polis terhadap laporan palsu dan tuduhan Beh Yong Kean. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang exco Perak menafikan dakwaan bekas pembantunya yang beliau meminta komisen daripada 2 syarikat terbabit dalam permohonan tanah kerajaan lebih 36 hektar.

Abdul Yunus Jamhari menyifatkan tuduhan itu bertujuan membunuh karier politiknya yang dipercayai bermula sejak pemilihan PKR tahun lalu disebabkan sokongannya kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah jahat yang dilemparkan terhadap saya seperti laporan polis yang dibuat dan ditularkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan dakwaan itu sebagai konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai exco Perak menjelang istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco tidak lama lagi.

Terdahulu, bekas pegawai khas Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis mendakwanya cuba meminta komisen daripada 2 syarikat.

Beh mendakwa Yunus membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya supaya beliau dapat memulakan proses rundingan dengan 2 syarikat itu.

Adun Kuala Kurau itu mendakwa Beh ialah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang dan berdendam dengannya kerana tidak menyokong kelulusan tanah dimohonnya sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya percaya ada dalang di sebalik tindakan jahat ini dan beliau sudah diperalatkan pihak-pihak tertentu bagi mencalarkan integriti dan imej saya sebagai exco kerajaan negeri.”

Yunus berkata, beliau akan membuat laporan polis kerana dikaitkan dengan tuduhan jahat dan laporan palsu Beh.

“Saya ingin menggesa seluruh rakyat, khususnya di Perak untuk bersama menolak segala konspirasi jahat yang cuba mengganggu gugat pentadbiran dan meremehkan institusi kerajaan negeri melalui fitnah jahat seperti ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.