Anwar bawa rintihan nelayan P Pinang kepada Dr M

Anwar bawa rintihan nelayan P Pinang kepada Dr M

Anwar Ibrahim berkata isu tambakan laut di Pulau pinang memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan kehidupan nelayan.

Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Mahathir Mohamad di Putrajaya, hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hari ini membawa isu rintihan nelayan di Pulau Pinang yang membantah projek tambakan laut di negeri itu dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathit Mohamad di Putrajaya.

Anwar berkata isu itu memberi kesan besar terhadap kelestarian alam sekitar dan kehidupan mereka.

“Saya menyampaikan hasrat kepada perdana menteri untuk menemui penduduk yang terlibat dengan bantahan ini,” katanya di Facebooknya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata beliau membangkitkan masalah golongan kontraktor kelas menengah dan bawahan.

Pada 11 Julai lalu, kira-kira 200 peserta berarak ke Parlimen bagi membantah Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dan pelombongan pasir di Perak.

Kumpulan itu yang terdiri daripada nelayan dan wakil beberapa persatuan di Pulau Pinang dan Perak mula berkumpul di Taman Tugu.

Mereka mula berarak dengan membawa sepanduk dan bendera serta melaungkan slogan seperti “Tolak Tambak” dan “Pulau Palsu Pulau Haram”.

Mereka mahu menyerahkan petisyen dan memorandum berasingan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan 8 menteri lain yang menganggotai Majlis Perancang Fizikal Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.