3 pindaan dibentang esok selepas RUU undi 18 tahun ditarik balik, kata PM

3 pindaan dibentang esok selepas RUU undi 18 tahun ditarik balik, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan itu termasuk cadangan pembangkang untuk pendaftaran pengundi secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Dr Mahathir Mohamad bersama ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (kiri Mahathir) mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan hari ini menarik balik Rang Undang-undang pindaan Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata RUU baru akan dibentangkan esok dengan 3 pindaan, termasuk cadangan pembangkang untuk pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

“Pembangkang telah memberikan komitmennya untuk menyokong pindaan Perlembagaan dengan kedua-dua cadangan tersebut.

“Saya yakin (boleh mendapat) majoriti 2/3. Rang undang-undang itu akan dibuka semula esok,” katanya di lobi Parlimen.

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob yang turut menghadiri sidang akhbar itu mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana menerima cadangan mereka.

“Memandangkan kerajaan telah bersetuju dengan cadangan kami, pembangkang pasti akan menyokong.

“Keseriusan kerajaan ditunjukkan dengan penarikan balik rang undang-undang itu.”

Pada 4 Julai lalu, kerajaan membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun bagi bacaan kali pertama.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof menarik balik RUU itu sebaik saja sidang Dewan Rakyat bermula pagi ini.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik RUU Pindaan Perlembagaan 2019 pada hari ini,” katanya yang disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa kemudiannya memohon RUU Pindaan Majlis Keselamatan Negara 2019 ditarik balik tanpa memberi sebarang sebab.

Permohonan itu disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir.

Pada 9 April lalu, Hanipa membentangkan pindaan Akta MKN untuk bacaan kali pertama yang antara lain untuk mengembalikan kuasa kepada Agong mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai “kawasan keselamatan”.

Semua RUU itu memerlukan sokongan 2/3 atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.