KKM dakwa kematian Orang Asli sukar dikenal pasti guna rangka mayat

KKM dakwa kematian Orang Asli sukar dikenal pasti guna rangka mayat

KKM gagal mendapatkan sampel tisu yang mencukupi daripada rangka mayat tersebut bagi menjalankan siasatan.

KKM berkata apa yang lebih penting siasatan berhubung kematian 12 Orang Asli Kuala Koh tidak ada unsur jenayah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hasil laporan bedah siasat sukar mengenal pasti punca kematian Orang Asli di Kampung Kuala Koh hanya melalui rangka mayat, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata pihaknya gagal mendapatkan sampel tisu yang mencukupi daripada rangka mayat tersebut bagi menjalankan siasatan.

“Apabila tidak ada tisu yang tinggal selain tulang, maka sukar untuk kita mengesahkan punca kematian, kes ini lebih sukar,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Beliau juga menafikan terdapat kelewatan dalam bedah siasat mayat Orang Asli terbabit.

Lee berkata masa yang lama diambil adalah perkara normal kerana laporan bedah siasat melibatkan ujian fizikal daripada badan mayat dan ujian kimia.

Katanya, apa yang lebih penting siasatan berhubung kematian 12 Orang Asli itu tidak ada unsur jenayah.

Minggu lepas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata hasil laporan bedah siasat daripada 12 mayat Orang Asli tidak dapat mengesahkan punca kematian.

Beliau berkata bedah siasatan dijalankan pada 17 dan 18 Jun.

Sejak wabak itu dilaporkan pada 3 Jun lalu, jumlah mangsa terlibat ialah sebanyak 173 kes membabit 147 di Kelantan dengan 3 kematian, 18 kes di Terengganu dan 8 kes di Pahang.

Daripada jumlah tersebut, 82 disahkan mengalami demam campak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.