Jangan ganti cukai pelancongan dengan levi pelepasan, kata menteri Sarawak

Jangan ganti cukai pelancongan dengan levi pelepasan, kata menteri Sarawak

Kerajaan merancang untuk melaksanakan levi pelepasan selepas musim haji September depan.

Levi pelepasan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 pada mulanya dijadual dilaksanakan pada 1 Jun.
KUCHING:
Menteri pelancongan Sarawak menolak langkah menggantikan cukai pelancongan dengan levi pelepasan, dengan berkata ia akan memberi ke atas industri pelancongan negara dan mengakibatkan semua negeri rugi.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau maklum tentang rancangan kerajaan mahu melaksanakan levi pelepasan selepas musim haji September depan.

“Sekiranya levi pelepasan itu menggantikan cukai pelancongan, maka semua negeri akan rugi kerana tidak ada lagi peruntukan hasil, tidak seperti cukai pelancongan,” katanya kepada FMT, dengan menambah bahawa beliau percaya ia tidak akan berlaku.

Bulan lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan persekutuan bersetuju untuk memberikan 50% daripada hasil cukai pelancongan kepada kerajaan negeri.

Cukai tersebut yang dikuatkuasakan pada Ogos 2017 menyaksikan orang asing yang menginap di hotel atau rumah tumpangan persendirian dikenakan caj RM10 ke atas setiap bilik satu malam.

Dalam pada itu, levi pelepasan yang dicadangkan dalam Belanjwanan 2019 pada mulanya dijadualkan akan dilaksanakan pada 1 Jun.

Karim berkata, walaupun levi berkenaan adalah baik untuk kewangan kerajaan, namun ia menjadi beban ke atas rakyat Malaysia dan juga pelancong asing.

Pemain industri turut menyuarakan kebimbangan berhubung kesan kemungkinan levi berkenaan, dengan berkata, ia akan memberi kesan ke atas ketibaan pelancong dan menjadikan Malaysia destinasi kurang kompetitif melainkan satu kajian terperinci mengenainya dibuat terlebih dahulu.

Karim bersetuju dengan berkata, bakal pelancong akan memilih lokasi percutian lain seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam atau Filipina sekiranya Malaysia menjadi destinasi kurang digemari.

Bekas menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah, Masidi Manjun berkata, sekiranya levi pelepasan dilaksanakan, Putrajaya perlu memperuntukkan sebahagian yang adil daripada hasil yang dipungut kepada negeri.

“Prinsipnya sama (dengan perkongsian cukai pelancongan), cuma mekanismenya berbeza,” katanya kepada FMT.

Masidi, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan berkata, kutipan levi pelepasan adalah lebih tinggi kerana ia bakal dikenakan ke atas semua penumpang penerbangan antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia.

“Bergantung pada peratusan yang diberikan kepada negeri, bahagian kita (Sabah) sepatutnya lebih tinggi berbanding cukai pelancongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.