Khairy: Pinda umur mengundi tak beri kelebihan pada mana-mana pihak

Khairy: Pinda umur mengundi tak beri kelebihan pada mana-mana pihak

Khairy Jamaluddin percaya orang muda di Malaysia akan melihat pihak mana yang mampu memberi hala tuju yang baik kepada mereka.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
KUALA LUMPUR:
Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun tidak beri kelebihan kepada mana-mana pihak, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau percaya orang muda di Malaysia akan melihat pihak mana yang mampu memberi hala tuju yang baik kepada mereka.

“Jadi tak timbul Rang Undang-Undang (RUU) ini akan beri kelebihan kepada mana-mana pihak,” katanya di lobi Parlimen.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dibentang bagi bacaan kali pertama hari ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali ke-2 serta perbahasan RUU itu akan diadakan pada sidang kali ini yang berlangsung selama 18 hari.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sebarang langkah untuk melaksanakan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik memerlukan pindaan ke atas Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pindaan pendaftaran pengundi secara automatik memerlukan keputusan kerajaan.

“Sepatutnya pindaan itu datang sekali, maksudnya pinda perlembagaan turunkan had umur dan pendaftaran secara automatik.

“Pendirian pembangkang kita sokong jika kedua-dua dilaksanakan. Tapi memandangkan satu sahaja, pada dasarnya kita setuju turun kepada 18 tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.