Timbalan speaker jangka waktu pertanyaan PM dilaksana Oktober ini

Timbalan speaker jangka waktu pertanyaan PM dilaksana Oktober ini

Nga Kor Ming yakin dengan kemampuan Dr Mahathir Mohamad menjawab semua soalan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR:
Waktu pertanyaan perdana menteri dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini, kata Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Beliau yakin dengan kemampuan Dr Mahathir Mohamad menjawab semua soalan dikemukakan ahli Parlimen.

“Jadi, waktu pertanyaan itu saya percaya dalam masa sesuai, maka perkara ini akan dilaksanakan juga. Tunggu apabila masa yang sesuai.

“Sekiranya boleh, harapan saya pada tahun ini atau paling lewat sesi akan datang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sidang Dewan Rakyat seterusnya selama 36 hari dijadualkan bermula dari 7 Oktober hingga 5 Disember ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata tiada keperluan mengadakan waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat kerana memadai dengan waktu pertanyaan menteri selama 30 minit pada Selasa dan Khamis.

Bagaimanapun, Bersih 2.0 menggesa kerajaan mempertimbangkan pindaan terhadap Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengadakan waktu pertanyaan perdana menteri seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Sementara itu, Nga berkata, reformasi Parlimen sedang dilaksanakan.

“Isnin lalu, kita luluskan usul isytihar harta dan ia memang merupakan satu langkah reformasi Parlimen yang penting.”

Dewan Rakyat pada Isnin lalu sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen dan keluarga mereka mengisytiharkan harta, tanpa sebarang bantahan daripada pembangkang.

Berdasarkan usul pengisytiharan harta, ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen yang membuat perakuan palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Akuan Berkanun 1960 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 3 tahun dan denda mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.