MBPJ pantau kakitangan lebih ketat selepas ‘video rasuah’ tersebar

MBPJ pantau kakitangan lebih ketat selepas ‘video rasuah’ tersebar

MBPJ akan menjalankan program kesedaran dan kursus motivasi khas dalam usaha mengukuhkan integriti dalam kalangan kakitangannya.

2 pegawai MBPJ didakwa menerima rasuah daripada peniaga di Paradigm Mall. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjanji akan melakukan pemantauan lebih ketat bagi mengelak mana-mana kakitangannya terlibat dengan budaya rasuah, selepas tersebarnya klip video yang menunjukkan pegawai MBPJ menerima wang daripada peniaga.

Majlis itu juga akan menjalankan program kesedaran dan kursus motivasi khas dalam usaha mengukuhkan integriti dalam kalangan kakitangan MBPJ, jurucakap pihak berkuasa tempatan itu memberitahu FMT.

Jurucakap itu berkata isu melibatkan integriti boleh dikawal baik sekiranya terdapat sistem kawalan yang lebih berkesan.

“Buat masa ini, majlis masih giat menjalankan siasatan dalaman berhubung kes tersebut dan mereka masih dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya sambil mengesahkan 2 pegawai penguatkuasa MBPJ itu sedang disiasat.

“Namun majlis sudah ambil tindakan secara pentadbiran dengan menempatkan mereka untuk kerja-kerja dalaman sehingga siasatan selesai.”

Dua bekas ahli majlis MBPJ mendakwa amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguatkuasa majlis bandar berleluasa selama beberapa tahun.

Peter Chong, yang merupakan ahli majlis itu antara 2014 hingga 2016, dan Cynthia Gabriel, yang berkhidmat antara 2009 hingga 2015, kedua-duanya merujuk amalan rasuah pegawai penguat kuasa sebagai “budaya” yang majlis itu berjuang untuk menghapuskannya.

Mereka juga mengambil contoh klip video yang tersebar di internet untuk membuktikan kenyataan mereka. Ia datang daripada rakaman CCTV yang dipasang pemilik kedai makan di Paradigm Mall.

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu kemudian membuat laporan kepada SPRM.

Chong berkata bukti video itu akan memudahkan pembuktian rasuah yang telah “lama berlaku” dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

“Tetapi kali ini, terdapat bukti video yang memudahkan untuk mengenakan dakwaan kepada pesalah.”

Beliau juga berkata beliau tidak akan menerima alasan yang pegawai terbabit yang menerima rasuah kerana gaji mereka rendah.

“Gaji mereka mungkin rendah, tetapi budaya rasuah ini wujud walaupun dalam kalangan pegawai yang lebih senior,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Cynthia, yang mengetuai Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), bercakap tentang “kubu” rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

“Ketika saya menjadi ahli majlis, kami cuba memperkenalkan pelbagai mekanisme untuk menguatkan audit dalaman dan laporan salah laku yang diperlukan untuk mendapatkan mekanisme pemberi maklumat yang tepat.

Beliau menyeru tindakan “tindakan segera dan punitif yang kuat” terhadap amalan rasuah.

“Video yang tersebar itu membantu menunjukkan bagaimana ia dilakukan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menyeru hukuman terhadap pemberi sogokan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.