
Salahuddin berkata mereka yang ditangkap akan melalui proses mahkamah, dan jika didapati bersalah, bot-bot mereka akan disemadikan di lautan untuk kegunaan hidupan laut.
“Mungkin denda mereka tidak mahu bayar dan memilih untuk tidur dalam lokap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Kita akan arahkan tenggelamkan kapal-kapal itu untuk dijadikan tukun-tukun dalam perairan kita. Itu lebih berkesan dan negara lain telah amalkan,” tambahnya.
Beliau menjawab pertanyaan Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang mahu tahu adakah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat meminda Akta Perikanan bagi menangani pencerobohan nelayan asing.
Salahuddin berkata kementeriannya akan membentangkan rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2019 bagi meminda Akta Perikanan.
Pindaan itu menaikkan denda maksimum bagi kapal penangkapan ikan asing yang menceroboh perairan Malaysia, daripada RM1 juta kepada RM6 juta bagi nakhoda dan dari RM100,000 kepada RM600,000 bagi setiap anak kapal.
Bacaan kali pertama dilakukan hari ini dan bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi Parlimen bulan ini.
Salahuddin memaklumkan, bot-bot nelayan dari Vietnam paling banyak menceroboh perairan negara sejak beberapa tahun lalu.
“Sebanyak 1102 tangkapan telah dibuat, dan daripada jumlah itu Vietnam tertinggi iaitu 706 vesel yang ditahan dalam tempoh 12 tahun.