
Beliau berkata sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan hutan simpan kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Kerajaan Pahang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau hutan simpan kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di Raub.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Ops Sekat telah memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai dan sehingga kini, lebih 10,000 hektar kawasan durian haram disekat laluan keluar masuk, manakala 104 hektar tanaman durian haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom ditebang.
Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan polis yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
Beliau berkata kerjasama itu memperkukuh tindakan kerajaan negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.