Ada perkara nabi sendiri tidak komen, aktivis beritahu PAS

Ada perkara nabi sendiri tidak komen, aktivis beritahu PAS

Ia selepas Tuan Ibrahim Tuan Man memetik satu hadis untuk menyokong pendirian PAS menolak keperluan ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka.

Pengarah Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk Musa
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Islam terkenal mengkritik tindakan PAS memetik satu hadis untuk menyokong pendirian parti itu yang menolak keperluan ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka.

Dr Ahmad Farouk Musa mengingatkan parti Islam itu bahawa Nabi Muhammad sendiri mengelak beberapa topik kerana baginda merasa tidak mempunyai kepakaran mengenainya.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang memetik hadis yang menasihati umat Islam berhati-hati dengan perkara melibatkan kewangan supaya mereka tidak menjadi sasaran orang yang dengki terhadap kekayaan mereka.

Farouk berkata ini bukan kali pertama umat Islam memetik hadis untuk membenarkan dasar politik dan ekonomi pilihan mereka, mengatakan Islam umumnya membiarkan sebahagian besar daripada hal ehwal keduniaan berkembang mengikut masa dan ruang.

“Seperti penyokong pasaran bebas menggunakan hadis bahawa nabi melarang campur tangan untuk menghadkan harga barang untuk mereka menyebarkan agenda kapitalis,” kata Farouk yang mengetuai Front Renaissance Islam kepada FMT.

Beliau berkata pengisytiharan aset adalah alat inovatif tadbir urus yang baik untuk membantu memastikan pegawai awam tidak mengkayakan diri sendiri menggunakan kedudukan mereka.

Beliau juga mempersoalkan hujah bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu tersebut.

“Kajian menunjukkan rejim pengisytiharan aset tidak menimbulkan risiko yang ketara terhadap kebebasan dan keselamatan walaupun terhadap hakim, apa lagi penjawat awam atau ahli parlimen,” kata Farouk.

“Sebaliknya, manfaat anti-rasuah memberikan alasan kuat untuk mewajibkan pegawai awam memfailkan akuan aset untuk mencegah rasuah.”

Semalam, usul mewajibkan semua Ahli Parlimen dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset mereka pada 1 Oktober diluluskan sebulat suara, walaupun terdapat kritikan awal daripada ahli Parlimen Umno dan PAS.

Antara lain, mereka mempersoalkan keperluan ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan aset, dan mengapa keperluan itu tidak ditambah kepada undang-undang anti rasuah sedia ada.

Tuan Ibrahim tidak menyatakan dengan jelas hadis yang dirujuknya.

Tetapi ketika dihubungi, sumber yang dekat dengan kepimpinan PAS merujuk kepada hadith yang kesahihannya dipersoalkan oleh pakar hadis.

“Mintalah bantuan untuk menyelesaikan keperluanmu dengan kerahsiaan. Sesungguhnya setiap orang yang mendapat nikmat ada pendengkinya,” hadis tersebut dibacakan.

Farouk, bagaimanapun, berkata beliau tidak berminat untuk berdebat mengenai kesahihan hadis tersebut.

“Saya tidak berminat dengan status hadis itu kerana ini adalah mengenai urusan duniawi,” katanya.

Beliau berkata terdapat masalah kontemporari yang ditinggalkan untuk pakar mendapatkan penyelesaian.

Beliau berkata peluang yang sama tidak diberikan dalam urusan ritual dan kepercayaan kepada Tuhan.

“Nabi diutuskan untuk mengajar kita tentang ketakutan kepada Allah. Baginda tidak dihantar untuk mengajar kita perubatan, senibina, kejuruteraan, bahkan bagaimana mentadbir negara.”

Beliau memetik contoh sejarah Islam di mana nabi memberitahu sekumpulan umat Islam tidak semestinya mengikut pendapatnya mengenai pendebungaan silang.

“Nabi berpendapat pendebungaan silang tidak akan bermanfaat. Petani di Madinah mengikut pandangannya tetapi kemudian memberitahunya tentang kemerosotan hasil pertanian mereka.

“Nabi berkata kepada mereka, ‘kamu lebih mengetahui perkara duniawi kamu’,” kata Farouk. “Dan isu ini berada dalam perkara duniawi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.