
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu sejak 3 April lalu akan meneruskan tugasnya selama 23 hari lagi.
Timbalan pendakwa raya, Ishak Mohd Yusoff dijangka meneruskan pemeriksaannya ke atas saksi ke-42, bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Suboh Md Yassin.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh dijangka memeriksa balas Suboh selama beberapa hari.
Pada 20 Jun lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas memohon penangguhan perbicaraan kes pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa Najib membabitkan 1MDB yang dijadualkan memulakan prosiding pada 19 Ogos ini.
Beliau memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, perbicaraan kes SRC International masih berterusan dan pasukan pendakwaannya tidak boleh menyelesaikan kes itu pada 15 Ogos ini dan membolehkan pasukan pendakwaan kes 1MDB memulakan prosiding pada 19 Ogos ini.
“Apa yang saya boleh beritahu mahkamah ialah lebih 40 saksi sudah memberi keterangan dalam kes SRC International dan kami akan memanggil 25 saksi lagi.
“Perbicaraan berjalan dengan agak lambat daripada jangkaan kami,” katanya sambil menambah perbicaraan patut ditangguhkan kepada 1 Oktober.
Sequerah memerintahkan Thomas untuk kembali pada 15 Julai ini untuk memberi perkembangan terkini mengenai kes SRC International.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September tahun lalu membabitkan dakwaan dana 1MDB dalam akaun AmBank beliau.
Bekas perdana menteri itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.
Beliau turut didakwa memindahkan dana haram RM2.28 bilion ke akaun banknya dan menggunakan wang itu kemudian.
Bagi kes yang masih dibicarakan, Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 3 dakwaan pengubahan wang membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.